Campus

Jabatan Pengurusan Awam anjur Bengkel Table 4 perkukuh OBE bagi mod pengajian separuh masa

Berita dan gambar Dr. Siti Noor Shamilah Misnan

SINTOK, 2 Julai 2026: Jabatan Pengurusan Awam, Pusat Pengajian Kerajaan, Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Table 4 Outcome-Based Education (OBE) bagi program mod pengajian separuh masa pada Mei lalu.

Bengkel tersebut diadakan bertujuan membantu pensyarah dan penyelaras program dalam proses pengisian borang OBE, khususnya bagi memenuhi keperluan dokumentasi dan penambahbaikan akademik untuk program mod pengajian separuh masa.

Program ini merupakan satu inisiatif penting dalam memastikan pelaksanaan kurikulum dan penilaian program akademik sentiasa selaras dengan standard Outcome-Based Education (OBE) yang ditetapkan oleh pihak universiti dan badan akreditasi.

Selain itu, bengkel ini turut memberi pendedahan kepada pensyarah berkaitan kaedah pengisian Table 4 secara sistematik dan tepat bagi memastikan keberkesanan pemetaan hasil pembelajaran kursus (CLO) dan hasil pembelajaran program (PLO).

Bengkel ini telah dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa COLGIS, Prof. Dr. Ahmad Zubir yang turut menzahirkan sokongan terhadap usaha berterusan dalam memperkukuhkan kualiti pengurusan akademik dan penawaran program separuh masa.

Turut hadir ialah Pengarah PACE UUM, Prof. Madya Dr. Rozita Mutalib, serta Penyelaras Mod Separuh Masa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam Puan Zalinah Ahmad.

Bagi memastikan bengkel berjalan dengan lebih berkesan dan mencapai objektif yang ditetapkan, pihak penganjur telah menjemput Prof. Madya Ts. Dr. Izwan Nizal Mohd Shaharanee dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif sebagai penceramah jemputan.

Beliau berkongsi kepakaran serta pengalaman berkaitan pelaksanaan OBE, termasuk aspek pemetaan kursus, pengukuran pencapaian hasil pembelajaran, dan penyediaan dokumentasi akademik yang memenuhi standard penilaian semasa.

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta turut diberikan latihan praktikal dan sesi perbincangan secara langsung berkaitan pengisian Table 4. Pendekatan ini membolehkan para pensyarah memahami dengan lebih jelas proses penyediaan dokumen OBE serta kaedah penyelarasan maklumat kursus bagi program mod pengajian separuh masa.

Selain pihak pengurusan akademik, bengkel ini juga dihadiri oleh pensyarah-pensyarah yang terlibat dalam pengajaran bagi program mod separuh masa tersebut. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen berterusan warga akademik Pusat Pengajian Kerajaan dalam memastikan penyampaian pengajaran dan pembelajaran sentiasa berkualiti, tersusun dan memenuhi kehendak semasa pendidikan tinggi.

Penganjuran bengkel seperti ini diharapkan dapat memperkukuhkan lagi kefahaman pensyarah terhadap pelaksanaan OBE serta meningkatkan keberkesanan pengurusan akademik, khususnya bagi program pengajian separuh masa di UUM.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button