Kepuasan pelanggan pemacu pertumbuhan organisasi – Prof. Dr. Sany Sanuri
Gambar oleh Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 24 November 2025: “Kepuasan pelanggan terhadap sesuatu produk bukan sahaja mendorong mereka untuk terus membeli, malah mampu menarik pelanggan baharu melalui perkongsian pengalaman positif,” ujar Prof. Dr. Sany Sanuri dalam Majlis Syarahan Pengukuhan Profesor Siri 5/2025 yang berlangsung di Dewan Seminar A, Kompleks Konvensyen UUM.
Dr. Sany menyampaikan syarahan bertajuk “Rumah Pemasaran: Strategi Keunggulan Prestasi Organisasi”.

Beliau menghuraikan satu kerangka komprehensif mengenai bagaimana organisasi mampu mencapai kecemerlangan prestasi melalui pendekatan pemasaran yang holistik, tersusun dan disokong oleh prinsip kualiti menyeluruh.
Beliau menggariskan bahawa konsep “rumah pemasaran” tidak hanya menumpukan kepada aspek promosi atau hubungan pelanggan, tetapi merangkumi integrasi antara orientasi pasaran, pengurusan kualiti, reka bentuk proses, strategi pemasaran halal, serta nilai Islam dalam pengurusan moden.

Pendekatan ini, jelas beliau, menjadi asas penting dalam membina kelebihan bersaing yang mampan dalam ekosistem perniagaan hari ini.
Beliau turut berkongsi beberapa penemuan signifikan daripada siri kajian terdahulu, termasuk kajian kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan bank melibatkan 2,940 responden di tujuh bank utama, kajian kesetiaan pelanggan industri automotif nasional, serta kajian kecemerlangan perkhidmatan di 19 universiti awam di Malaysia.
Hasil dapatan tersebut menekankan peranan kompetensi pengurus, produktiviti staf serta teknologi baharu sebagai pemacu utama kecemerlangan perkhidmatan.

Beliau juga menekankan keperluan organisasi mengintegrasikan nilai-nilai Islam seperti amanah, ihsan dan etika dalam sistem pengurusan kualiti, berlandaskan prinsip Al-Quran dan syariah.
“Keberhasilan organisasi bukan sahaja diukur melalui pencapaian prestasi, tetapi juga melalui proses kerja yang beretika serta berlandaskan nilai murni,” katanya.
Beliau turut mengupas perkembangan pesat industri halal global yang kini mencecah nilai trilion dolar, sekali gus membuka ruang besar kepada usahawan dan organisasi untuk memanfaatkan permintaan antarabangsa terhadap produk dan perkhidmatan halal.

Perkembangan ini, menurut beliau, menuntut strategi pemasaran yang lebih berfokus, kreatif dan berpaksikan keperluan sebenar pengguna.
Syarahan beliau diakhiri dengan penegasan bahawa pemasaran hari ini memerlukan gabungan elemen dalaman dan luaran yang saling melengkapi seperti kekuatan proses operasi, reputasi jenama, nilai Islamik, serta pemahaman mendalam mengenai tingkah laku pengguna.
“Rumah pemasaran yang kukuh ialah rumah yang dibina atas dasar nilai, strategi dan pelaksanaan yang selaras. Di situ terletaknya keunggulan prestasi organisasi,” ujar beliau.
Mengakhiri syarahannya, beliau menyeru agar organisasi terus melaksanakan inovasi melalui penghasilan produk baharu serta mengamalkan proses penambahbaikan berterusan demi memastikan daya saing yang relevan dan mampan dalam landskap perniagaan masa kini.



