Campus

Khutbah Jumaat Khas sempena Hari Sedunia KKP tekankan kesejahteraan holistik

Gambar oleh: Pusat Islam UUM

SINTOK, 24 April 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkukuh agenda keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) melalui penyampaian Khutbah Jumaat khas sempena Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World Day for Safety and Health at Work). Khutbah khas tersebut dibaca serentak di Masjid Sultan Badlishah UUM dan Masjid Imam As-Syafie, Bukit Kachi.

Sambutan tahunan ini diraikan pada 28 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran global terhadap kepentingan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.

Selaras dengan tema global tahun ini yang menumpukan kepada persekitaran kerja psikososial yang sihat, khutbah turut menegaskan bahawa keselamatan pekerjaan merangkumi dimensi yang lebih luas meliputi kesejahteraan mental dan emosi. Persekitaran kerja yang baik dilihat perlu menyokong keseimbangan beban tugas, komunikasi yang berkesan, sokongan organisasi serta amalan pengurusan yang adil.

Di Masjid Sultan Badlishah, khutbah dibaca sendiri oleh Pengarah Pusat Islam UUM, Ust. Mohd Yusnaidi Md. Sabri. Beliau menegaskan bahawa aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diberi keutamaan, bukan sahaja dari sudut pematuhan peraturan, malah sebagai amanah yang dituntut dalam Islam.

“Islam melalui prinsip Maqasid Syariah menuntut pemeliharaan nyawa dan akal, justeru persekitaran kerja yang menekan, tidak adil dan menjejaskan kesejahteraan mental adalah bertentangan dengan tuntutan tersebut,” ujar beliau.

Khutbah tersebut turut memperingatkan tentang kepentingan memperkukuh budaya kerja selamat dan sihat melalui pendekatan pengurusan risiko, pematuhan prosedur serta tanggungjawab bersama dalam mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sejahtera.

Dalam masa yang sama, pekerja diseru melaksanakan amanah dengan dedikasi dan integriti demi memastikan keselamatan diri, rakan sekerja serta kelangsungan organisasi, tanpa menjadikan tekanan kerja sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab dalam memenuhi tuntutan tugasa harian.

Pendekatan melalui platform khutbah ini mencerminkan usaha UUM dalam mengintegrasikan elemen KKP secara menyeluruh, termasuk melalui pendekatan kerohanian yang dekat dengan warga kampus termasuk para mahasiswa.

UUM komited untuk terus menjadi institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berperanan sebagai model dalam pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang holistik dan lestari.  – Bahagian Pengurusan Risiko, UUM

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button