Campus

Klinik Swaakreditasi perkukuh kualiti program selaras kehendak MQA

Gambar Izlawati Ismail

SINTOK, 13 Mei 2026: Pusat Swaakreditasi Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Klinik Penambahbaikan Penilaian Audit Akreditasi Penuh, Program Separuh Masa di bawah seliaan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) selama dua hari pada 21 dan 22 April lalu.

Sesi klinik diterajui oleh Timbalan Pengarah Pusat Swaakreditasi, Dr. Mohd Fikri Sofi bersama Luzman Abd Aaziz dan hadir sama menjayakan sesi adalah Pengarah Pusat Swaakreditasi, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud.

Dr. Zulkiflee berkata, penganjuran klinik ini merupakan usaha berterusan Pusat Swaakreditasi UUM untuk memperkukuhkan kualiti program separuh masa selaras dengan keperluan akreditasi penuh berdasarkan kehendak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sesi klinik mendapat sambutan memberangsangkan melibatkan penyertaan pengerusi program dari empat pusat pengajian berbeza iaitu Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) dan Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS).

“Sesi klinik ini membincangkan secara terperinci keperluan dokumentasi, pemetaan kurikulum serta bukti sokongan yang diperlukan dalam proses penilaian akreditasi penuh untuk memberikan maklum balas berkualiti kepada ahli panel penilai (APP) MQA.

“Dalam konteks penasihatan, Pusat Swaakreditasi UUM bertindak sebagai pemudahcara dalam proses kerja yang dilihat agak kompleks di antara APP dan pemilik program. Inisiatif ini berupaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan program akademik di UUUM dalam usaha mendapatkan status akreditasi penuh program,” katanya.

Penilaian akreditasi penuh merupakan satu proses penting dalam memastikan program-program akademik memenuhi standard piawaian kebangsaan yang ditetapkan, meliputi aspek kurikulum, tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran serta kepimpinan dalam pembangunan program akademik baharu.

Sesi klinik tersebut turut memberi penekanan kepada aspek penambahbaikan berterusan, khususnya dalam penyediaan dokumen melalui proses pembuktian, keselarasan hasil pembelajaran program (PLO), serta pengurusan rekod akademik yang sistematik dan komprehensif.

Pusat Swaakreditasi dan PACE UUM komited untuk memastikan semua program yang ditawarkan setanding dengan program arus perdana universiti, sekali gus menyokong aspirasi universiti dalam mengekalkan kecemerlangan akademik dan kebolehpasaran graduan.

Penganjuran klinik diharap dapat membantu setiap pusat pengajian menambah baik aspek penilaian audit, seterusnya memastikan program separuh masa di UUM mencapai standard akreditasi penuh yang ditetapkan untuk kebaikan pelajar-pelajar yang kebanyakannya telah berada dalam pasaran pekerjaan.

Pusat Swaakreditasi dan PACE UUM optimis bahawa semua program separuh masa yang terlibat akan berjaya mencapai status akreditasi penuh, seterusnya memperkukuh reputasi UUM sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa terutamanya penting menjelang audit pengekalan status swaakreditasi universiti oleh MQA menjelang tahun 2029 kelak tanpa sebarang isu penilaian akademik yang serius.

Klinik juga mendapat sokongan padu Timbalan Pengarah PACE dan wakil dari UUMLEADS. – Nur Diyana Mohd Roslan

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button