Campus

Kolokium TISSA-UUM bincang isu semasa dalam penyelidikan perakaunan dan kelestarian

Berita dan gambar Siti Hajar Aziz

SINTOK, 13 Mei 2026: Kolokium Penyelidikan Pascasiswazah Pengajian Perakaunan Kali Ke-32 (Semester A252) telah berjaya dianjurkan secara dalam talian melalui platform Webex pada 4 Mei lalu.

Kolokium tersebut telah dirasmikan oleh Dekan Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Prof. Madya Dr. Raja Haslinda Raja Mohd. Ali.

Menurutnya, kolokium ini menghimpunkan penyelidik pascasiswazah, penyelia dan ahli akademik bagi membincangkan isu-isu semasa dalam penyelidikan perakaunan dan kelestarian.

“Program ini menjadi platform akademik penting kepada calon PhD (Perakaunan) untuk membentangkan dan memperhalusi idea penyelidikan mereka melalui sesi perbincangan ilmiah bersama pembincang dan penyelia yang dilantik.

“Pelbagai topik kontemporari telah dibentangkan, termasuk kecerdasan buatan dalam sistem maklumat perakaunan, pembuatan keputusan beretika dalam kalangan akauntan, prestasi kelestarian korporat, gelagat pematuhan cukai, serta transaksi pihak berkaitan dalam pasaran antarabangsa,” katanya.

Dr. Raja Haslinda turut menekankan kepentingan kolaborasi penyelidikan, pemikiran kritis dan ketahanan akademik dalam menghasilkan penyelidikan perakaunan yang memberi impak kepada industri dan masyarakat.

Beliau menggalakkan calon pascasiswazah untuk terus memperkukuh kualiti penyelidikan dan usaha penerbitan selaras dengan perkembangan global dalam bidang perakaunan dan kelestarian.

Kolokium ini mencerminkan komitmen berterusan TISSA-UUM dalam memupuk penyelidikan pascasiswazah berkualiti tinggi serta memperkukuh kecemerlangan akademik dalam bidang pengajian perakaunan.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button