Campus

KPDN Kedah santuni pelajar UUM melalui sumbangan susu kepada Central Pantry Food Bank

Gambar Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UUM

SINTOK, 20 Julai 2026: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah meneruskan komitmennya terhadap kebajikan pelajar dengan menyalurkan sumbangan sebanyak 36 karton susu Dutch Lady kepada Central Pantry Food Bank, Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UUM.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna, Pentadbiran dan Kewangan, KPDN Kedah, Mohd Nasharudin Md. Yusof bersama Ketua Unit Pendayaupayaan Pengguna (PUP), KPDN Kedah, Naimah Yunus.

Mohd Nasharudin berkata, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN dalam menyokong kesejahteraan masyarakat melalui kerjasama strategik dengan institusi pengajian tinggi.

Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UUM turut memainkan peranan penting dalam menyelaras penerimaan dan penghantaran sumbangan ke Central Pantry Food Bank. Penglibatan ahli kelab dalam program ini bukan sahaja memperkukuhkan semangat kesukarelawanan, malah memberi pengalaman kepada pelajar dalam melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial yang memberi manfaat kepada komuniti kampus.

Penasihat Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UUM, Dr. Nurul Fardini Zakaria merakamkan penghargaan kepada KPDN Kedah atas sumbangan yang diberikan serta komitmen berterusan dalam menyokong kebajikan pelajar.

Beliau berharap kerjasama strategik antara KPDN dan UUM dapat diteruskan melalui lebih banyak program yang memberi impak positif kepada warga universiti.

Program ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan kerjasama antara KPDN Kedah dan UUM, malah mencerminkan komitmen bersama dalam memupuk budaya prihatin, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial demi kesejahteraan pelajar. – Dr. Nurul Fardini Zakaria

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button