Campus

KPO Perdana 2026 persiap barisan pemimpin badan pelajar dengan tadbir urus berintegriti

Gambar Nur Athirah Hamzah (Pelajar OCJ)

SINTOK, 14 April 2026: Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Organisasi (KPO) Perdana 2026 selama dua hari yang bermula pada 3 sehingga 4 April di Auditorium Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS).

Penganjuran kursus ini merupakan platform pembangunan kepimpinan komprehensif bagi mempersiapkan barisan pemimpin badan pelajar dengan aspek tadbir urus berintegriti di manan peserta diberi pendedahan mendalam merangkumi pengurusan organisasi, kepimpinan strategik, pengurusan program, serta pematuhan terhadap peraturan semasa universiti.

Program ini menghimpunkan barisan kepimpinan tertinggi universiti yang terdiri daripada Majlis Tertinggi MPP, kepimpinan utama kelab dan persatuan, serta Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar Siswa (JKPS). Kehadiran wakil daripada pelbagai entiti ini secara tidak langsung memperkukuhkan lagi jaringan kolaborasi antara pemimpin pelajar di seluruh kampus.

Pengarah Program, Sharina Erna Suara berkata, kursus ini amat signifikan dalam memperincikan peranan dan tanggungjawab setiap pemimpin supaya selari dengan visi universiti.

“KPO Perdana bukan sekadar menyalurkan pengetahuan asas, malah mengasah kemahiran praktikal dalam membentuk pengurusan organisasi yang sistematik.

“Saya berharap para peserta dapat mengaplikasikan input yang diperoleh bagi memacu kecemerlangan organisasi masing-masing,” katanya.

Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan modul kritikal yang menjadi tunjang keberkesanan organisasi. Antara pengisian utama termasuklah penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), penguasaan sistem SAMS, prosedur pengurusan fasiliti dan kewangan, teknik penulisan surat rasmi, pengurusan fail, serta protokol pengurusan acara.

Majlis penutup telah disempurnakan oleh Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam yang menegaskan bahawa integriti dan profesionalisme adalah nilai teras yang wajib dijunjung oleh setiap pemimpin pelajar.

“Pemimpin pelajar harus menjadi suri teladan kepada warga kampus dengan mengamalkan tadbir urus yang etika dan bertanggungjawab.

“Program seumpama ini adalah pelaburan penting universiti dalam melahirkan bakat kepimpinan masa hadapan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Kejayaan penganjuran KPO Perdana 2026 ini diharapkan dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah kompeten dan berdaya saing dalam kepimpinan. Usaha ini secara langsung menyokong aspirasi universiti untuk memperkasakan sistem pengurusan badan pelajar yang profesional, efisien dan bertaraf global. – Sakinah Sabudin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button