CampusEducation

Kunjungan hormat dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan IDR perkukuh kolaborasi strategik

Gambar oleh: JKK UUM dan CeTMA

SINTOK, 28 Jun 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) hari ini memperkukuhkan hubungan kerjasama strategik menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Bangunan Canselori Sultan Sallehudin, Universiti Utara Malaysia.

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha bin Mohamed dan Ketua Pegawai Operasi Institut Darul Ridzuan (IDR), En. Azizul Hakim bin Abd. Karim, sambil disaksikan oleh Pengarah Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Prof. Madya Dr. Zahayu binti Md. Yusof, barisan pengurusan UUM, wakil-wakil IDR, warga CeTMA serta para felo penyelidik.

Pemeteraian MoU ini menjadi titik permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua institusi dalam bidang penyelidikan, pengukuran dan penilaian, pembangunan data dan analitik, latihan profesional, perundingan serta pembangunan komuniti. Kerjasama strategik ini juga dijangka membuka lebih banyak peluang pelaksanaan projek berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Ahmad Martadha bin Mohamed berkata bahawa pemeteraian Memorandum Persefahaman ini bukan sekadar melambangkan persetujuan antara dua institusi, malah menjadi platform untuk menghimpunkan kepakaran, sumber dan pengalaman bagi menghasilkan penyelidikan serta penyelesaian berasaskan bukti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau berkata, “Kerjasama ini diharap menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang bukan sahaja memperkukuhkan hubungan antara UUM dan IDR, malah mampu menghasilkan impak yang signifikan kepada pembangunan negeri melalui penyelidikan, inovasi dan pemindahan ilmu.”

Sebagai sebahagian daripada pengisian program, delegasi IDR turut dibawa melawat sekitar UUM Eco-Campus dan Muzium Pengurusan UUM bagi memberi pendedahan mengenai keunikan ekosistem pembelajaran, pembangunan lestari serta sejarah kecemerlangan universiti.

Selain itu, satu sesi perbincangan khusus mengenai potensi pelaksanaan kajian bersama antara CeTMA UUM dan IDR turut diadakan. Perbincangan tersebut memfokuskan kepada pembangunan projek penyelidikan berimpak tinggi, analisis data, pengukuran dan penilaian, serta penyediaan penyelesaian berasaskan bukti yang mampu menyokong pembangunan dasar dan kesejahteraan masyarakat.

Program turut diserikan dengan Sesi Sumbangsaran yang melibatkan pihak Ecofi untuk bertukar pandangan, berkongsi kepakaran serta mengenal pasti peluang kerjasama yang berpotensi untuk diterokai pada masa hadapan.

Sebagai simbol komitmen awal terhadap kerjasama yang bakal dilaksanakan, program diakhiri dengan penyerahan cadangan proposal kajian daripada pihak CeTMA kepada Institut Darul Ridzuan (IDR). Penyerahan tersebut diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan projek-projek penyelidikan strategik yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua institusi dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.

Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata dan bergambar sebagai simbolik kepada permulaan hubungan kerjasama yang diyakini akan terus berkembang melalui pelaksanaan pelbagai program dan penyelidikan pada masa hadapan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button