Kunjungan hormat Sutranita ke RUKAYDA UUM perkukuh agenda pendidikan dan pembangunan komuniti
Berita dan gambar Marina Hamzah
SINTOK, 27 Julai 2026: Yang Dipertua (YDP) Sutranita, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim bersama barisan wakil Jawatankuasa Sutranita telah mengadakan kunjungan hormat ke Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membincangkan pelbagai inisiatif strategik serta memperkukuhkan kerjasama dalam usaha meningkatkan pembangunan akademik, sahsiah dan kebajikan penghuni Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf (RUKAYDA) UUM.

Dr. Haslinda berkata, sesi perbincangan itu memberi tumpuan kepada usaha memperkasa pendidikan dan pembangunan holistik 11 penghuni RUKAYDA melalui pelaksanaan program yang melibatkan kepakaran warga akademik UUM serta jaringan kerjasama bersama agensi berkaitan.
Antara cadangan yang diketengahkan ialah penganjuran Kem Motivasi dan Pembangunan Sahsiah bagi memperkukuhkan penguasaan akademik, khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik, di samping cadangan pelaksanaan kelas pengayaan yang dikendalikan oleh pensyarah serta tenaga pengajar seperti daripada Pusat Pengajian Sains Kuantitatif dan Pusat Pengajian Pendidikan UUM.

Perbincangan turut merangkumi peluang kolaborasi antara Sutranita dan Pusat Islam UUM dalam menjayakan pelbagai program pembangunan wanita yang diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Pusat Islam, Nor Azlinah Zaini.
“Kerjasama ini dijangka dapat memperluas impak program pembangunan komuniti melalui penglibatan aktif warga universiti dan masyarakat,” katanya.
Kunjungan hormat tersebut diakhiri dengan lawatan ke kediaman RUKAYDA bagi memberi peluang kepada delegasi Sutranita meninjau sendiri kemudahan dan persekitaran rumah kebajikan berkenaan.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Sutranita dan Pusat Islam UUM dalam memperkukuhkan jaringan kerjasama strategik demi meningkatkan kesejahteraan, pendidikan dan pembangunan modal insan anak-anak yatim serta asnaf, selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti yang lestari.



