Campus

Kunjungan strategik JPPI, IPG Kampus Darulaman Ke IPIZ UUM buka peluang kerjasama akademik

Berita dan gambar Aufanailah Wahab @ Abdul Wahab

SINTOK, 21 Julai 2026: Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi (JPPI), IPG Kampus Darulaman (IPGKDA) sempena Program PASAK JPPI 2026.

Lawatan ini bertujuan untuk meneroka kerjasama akademik dan berkongsi amalan terbaik (best practices) dalam pengurusan ekosistem penyelidikan antara kedua-dua pihak.

Delegasi pelawat yang terdiri daripada lima pensyarah kanan JPPI IPGKDA telah disambut oleh barisan kepimpinan dan felo penyelidik IPIZ.

Majlis sambutan ini dipimpin oleh Penyelaras IPIZ, Dr. Amirul Haqeem Abd. Ghani bersama Pengarah RMC UUM, Prof. Madya Dr. Mohammad Azam Hussain dan Penyelaras JHEPPI, Dr. Ayu Abdul Rahman serta turut dihadiri oleh Dr. Mohd Azri Pawan Teh dan Dr. Fazlini Hashim.

Dalam sesi pertemuan tersebut, Dr. Mohammad Azam telah menyampaikan pembentangan mengenai aspirasi penyelidikan universiti dan potensi kolaborasi yang boleh diteroka bersama.

Pada masa yang sama, Dr. Amirul Haqeem turut berkongsi taklimat profil korporat IPIZ yang merangkumi visi, fungsi teras, pencapaian geran, persiapan persidangan antarabangsa ZAWED 2026, serta jaringan rakan kolaborasi sedia ada.

Melalui perkongsian ini, pihak IPIZ UUM percaya bahawa inisiatif dan komitmen bersama yang terjalin mampu bertindak sebagai pemangkin utama dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan dan inovasi kedua-dua institusi.

Hubungan strategik ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan penghasilan penerbitan ilmiah yang berkualiti tinggi, malah turut memperkasa serta memperluaskan jaringan kerjasama akademik di peringkat nasional dan global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button