Lawatan Muhibah cerminkan keprihatinan Persatuan Wanita UUM terhadap pendidikan awal kanak-kanak
Berita dan gambar Marina Hamzah
SINTOK, 23 Jun 2026: Persatuan Wanita Universiti Utara Malaysia (UUM), SUTRANITA yang diketuai oleh Yang Dipertua, Prof. Dr. Haslinda Ibrahim telah mengadakan lawatan muhibah ke Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Tengku Puteri Intan Safinaz bagi mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat serta menyantuni warga pendidik dan kanak-kanak prasekolah.

Program yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh keceriaan itu juga disertai oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Persatuan bagi membincangkan keperluan pendidikan selari dengan perkembangan pembelajaran sekarang ini. Pusat tersebut memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak kepada warga universiti serta komuniti setempat.
Dr. Haslinda berkata, lawatan tersebut merupakan salah satu inisiatif persatuan untuk mendekati masyarakat dan menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas pembentukan modal insan yang cemerlang pada masa hadapan.
Sepanjang lawatan, rombongan berpeluang meninjau kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh pihak tadika selain berinteraksi dengan para guru dan anak-anak disitu.

Pihak tadika merakamkan penghargaan atas kesudian Persatuan Wanita UUM melaksanakan lawatan tersebut dan berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan melalui pelbagai program kerjasama pada masa akan datang.
Program berakhir dengan sesi bergambar kenangan dan penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan serta simbolik komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat.
Aktiviti kemasyarakatan merupakan antara agenda yang sering dilaksanakan oleh SUTRANITA dalam usaha memperkasa peranan wanita dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.



