Campus

Majlis Sanjungan Legasi Ilmu UUM COB wadah himpun pengalaman, kebijaksanaan dan legasi ilmu

Gambar Muhammad Nazmi Abdullah Thani

SINTOK, 29 Julai 2026: UUM COB telah menganjurkan Majlis Sanjungan Legasi Ilmu UUM COB sebagai platform menghargai jasa dalam perkongsian pandangan untuk memacu kecemerlangan UUM COB masa hadapan yang diadakan di EDC UUM, semalam.

Majlis tersebut menghimpunkan seramai 15 pesara pensyarah dan bakal pesara bagi tahun 2026 hingga 2027 dalam suasana penuh penghargaan, sekali gus menjadi wadah untuk menghimpunkan pengalaman, kebijaksanaan dan legasi ilmu yang telah dibina sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Antara pengisian utama ialah Sesi Dialog Legasi dan Hikmah COB yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Noor Azniza Ishak, Prof. Dr. Salniza Md Salleh dan Prof. Dr. Ariffin Abdul Mutalib mewakili Majlis Profesor UUM.

Sesi itu memberi ruang kepada pesara dan bakal pesara berkongsi pengalaman, pandangan serta idea yang dapat dimanfaat dalam memperkukuhkan dan menambahbaik pengurusan UUM COB.

Pelbagai cadangan konstruktif turut diketengahkan merangkumi aspek pengurusan, kecemerlangan akademik, penyelidikan, pembangunan bakat serta usaha memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi. Perkongsian yang disampaikan secara terbuka mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam memastikan UUM COB terus relevan, berdaya saing dan cemerlang sebagai institusi pendidikan perniagaan yang unggul.

Pensyarah STML, Prof. Madya Dr. Mohd Akhir Ahmad berkata, UUM mempunyai pelbagai bidang kepakaran yang wajar diketengahkan dan dipromosikan dengan lebih meluas.

Sehubungan itu, menurutnya, kerjasama strategik dengan pihak industri perlu diperkukuhkan bagi memanfaatkan kepakaran tersebut, di samping membuka lebih banyak peluang kerjaya, latihan industri dan pembangunan bakat kepada para pelajar.

Selain itu, pesara turut meluahkan kebimbangan berhubung penetapan KPI kepada staf yang hampir menamatkan tempoh perkhidmatan. Mereka berpandangan bahawa keperluan untuk memenuhi KPI, khususnya yang melibatkan penyelidikan, boleh menjejaskan kelancaran proses persaraan kerana terdapat projek penyelidikan yang perlu diselesaikan sebelum persaraan, namun masih belum dapat ditamatkan dalam tempoh yang ditetapkan. Sehubungan itu, mereka mencadangkan agar mekanisme penilaian KPI bagi staf yang menghampiri persaraan dikaji semula supaya lebih bersesuaian dengan situasi dan tidak mengganggu urusan persaraan.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Selamah Maamor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pensyarah atas kesudian berkongsi pandangan dan pengalaman yang amat bernilai.

Beliau menegaskan bahawa setiap input yang diterima akan diteliti dan dijadikan panduan dalam merangka strategi serta memperkukuhkan hala tuju UUM COB demi mencapai kecemerlangan yang lebih gemilang pada masa hadapan.

“Legasi yang ditinggalkan bukan sekadar sejarah perkhidmatan, malah merupakan khazanah ilmu, pengalaman dan kebijaksanaan yang akan terus menjadi panduan kepada generasi pelapis dalam meneruskan kecemerlangan UUM COB,” katanya.

Majlis diakhiri dengan sesi fotografi sebagai simbol penghargaan dan kenangan kepada pesara serta bakal pesara yang telah menabur bakti dan meninggalkan legasi bermakna kepada UUM COB. – Nur Hazlina Ghazali

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button