Majlis Serah Tugas SEFB 2026 hargai legasi, teruskan kecemerlangan
Gambar Ahmad Shukri Harun
SINTOK, 13 Mei 2026: Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Universiti Utara Malaysia telah mengadakan Majlis Serah Tugas Pengurusan 2026 di Bilik Mesyuarat Utama, SEFB, semalam dalam suasana penuh penghargaan dan simbolik kesinambungan kepimpinan.

Majlis tersebut turut meraikan jasa dan sumbangan Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri yang telah menerajui SEFB sebagai dekan selama lebih empat tahun dengan pelbagai pencapaian dan inisiatif kecemerlangan di peringkat pusat pengajian.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid menerusi aluannya mewakili seluruh warga SEFB turut menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UUM.
Sementara itu, Dr. Bakti berharap agar SEFB terus melakar kecemerlangan serta memperkukuhkan reputasi sebagai pusat pengajian yang menjadi rujukan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan budaya kerja berpasukan, kecemerlangan akademik serta pengukuhan agenda penyelidikan dan jaringan strategik demi memastikan SEFB terus relevan dan berdaya saing.

Majlis turut menyaksikan sesi penyerahan Nota Serah Tugas Dekan SEFB kepada Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd Rashid sebagai simbolik kesinambungan kepimpinan dan pengurusan pusat pengajian.
Selain itu, sesi penyerahan Nota Serah Tugas Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) kepada Prof. Madya Dr. Roslina Kamaruddin turut berlangsung dengan lancar.
Majlis diakhiri dengan sesi penyampaian cenderamata, sesi bergambar serta jamuan makan tengah hari bersama warga SEFB dalam suasana penuh mesra dan penghargaan. – M. Khairy Mukhtaruddin



