Campus

Masjid perkasa sokongan psikospiritual pelajar hadapi akhir semester

Gambar SMIAS dan JKPSRS Bank Rakyat

SINTOK, 21 Julai 2026: Komitmen Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memperkukuhkan kesejahteraan psikospiritual pelajar diterjemahkan melalui pelbagai program pengimarahan masjid, termasuk Majlis Tazkirah dan Solat Hajat Semester A252 yang berlangsung di Masjid Imam As-Syafie (MIAS), Bukit Kachi, baru-baru ini.

Program yang dianjurkan oleh Exco Kerohanian dan Sahsiah Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) Inasis Bank Rakyat dengan kerjasama Sekretariat Sahabat Masjid Imam As-Syafie (SMIAS) itu bertujuan memperkukuhkan ketahanan rohani pelajar dalam menghadapi cabaran penghujung semester serta persediaan menjelang peperiksaan.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum diteruskan dengan solat hajat yang dipanjatkan khusus bagi memohon ketenangan jiwa, kemudahan urusan pembelajaran dan kejayaan buat seluruh pelajar.

Program kemudiannya diserikan dengan sesi tazkirah santai yang disampaikan oleh motivator, Iddin Ramli yang menyentuh kepentingan pergantungan kepada Allah SWT, pengurusan emosi serta pembinaan kekuatan dalaman dalam menghadapi tekanan akademik.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Islam UUM dalam memperkasakan fungsi masjid kampus sebagai ruang pembinaan sahsiah, kesejahteraan mental dan pengukuhan spiritual pelajar.

Melalui pendekatan psikospiritual yang berteraskan nilai Islam, masjid bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah berperanan sebagai pusat sokongan yang membantu mahasiswa mencapai keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan kesejahteraan diri.

Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri menzahirkan penghargaan terhadap usaha kepimpinan pelajar yang terus menghidupkan budaya pengimarahan masjid melalui program kerohanian yang dekat dengan keperluan mahasiswa.

“Pusat Islam amat mengalukan kerjasama erat bersama pihak Inapan Siswa dalam menjayakan program sebegini. Masjid perlu terus menjadi institusi yang mendampingi pelajar, khususnya dalam memberikan sokongan psikospiritual ketika berdepan cabaran akademik dan kehidupan kampus.

“Inilah antara usaha penting ke arah melahirkan graduan yang holistik serta seimbang dari aspek ilmu, sahsiah dan kesejahteraan diri,” katanya.

Beliau turut berharap sinergi antara Pusat Islam, pihak Inapan Siswa dan organisasi pelajar dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa bagi memastikan agenda pembangunan rohani mahasiswa terus subur dalam ekosistem kampus.

Program diakhiri dengan sesi jamuan dan kenduri di perkarangan masjid yang turut menjadi medium mempereratkan ukhuwah serta semangat kebersamaan dalam kalangan warga universiti. – Abdul Razak Abdullah

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button