Masterchef Competition 2026: Kreativiti masakan utara bersinar di STML Bersama Adabi
Gambar Aliaa Manall Abdul Kadir
SINTOK, 20 Julai 2026: Pertandingan MasterChef 2026 anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), dengan penaja utama ADABI Sdn. Bhd. telah berlangsung dengan penuh meriah di pekarangan Bamboo Lounge, STML, baru-baru ini.

Pertandingan ini dianjurkan adalah bersempena STML Green Carnival 2026 bukan sahaja mengangkat keunikan masakan utara, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan antara komuniti, universiti dan pihak industri.
Tema pertandingan kali ini adalah Masakan Utara, dengan syarat setiap kumpulan peserta yang terdiri daripada dua orang perlu menggunakan ikan temenung sebagai bahan utama dalam masakan mereka. Menu utama perlu diolah menggunakan ikan temenung dan produk-produk ADABI mengikut kreativiti masing-masing dan wajib mengikut tema masakan pada tahun ini iaitu: Northern Heritage Cuisine.
Sebanyak enam kumpulan telah mengambil bahagian yang terdiri daripada Komuniti Padi Huma Sik, wakil dari Unifi Kedah/Perlis, Komuniti Asnaf Kubang Pasu, Persatuan Kebajikan Prihatin Kedah, serta wakil dari UUM sendiri.
Barisan juri pula terdiri daripada seorang wakil ADABI Sdn. Bhd. dan dua pakar kulinari dari Kolej Komuniti Sungai Petani yang diiktiraf kredibiliti mereka dalam bidang masakan. Kehadiran juri profesional ini telah menambah nilai pertandingan dengan penilaian yang teliti dan adil.

Pertandingan masakan ini menyaksikan pasangan suami isteri, Ismail Hasan dan Faliza Talib dari Komuniti Asnaf Kubang Pasu dinobatkan sebagai juara.
IsmailĀ berkata, kemenangan ini adalah sebagai rezeki dan sangat terharu dengan kemenangan tempat pertama yang membawa pulang wang tunai RM200 berserta hamper masakan dari ADABI Sdn. Bhd.
Mereka berjaya memikat hati juri dengan kreativiti dan keaslian masakan berasaskan ikan temenung.
“Kami tidak menyangka akan meraih kemenangan. Apa yang kami masak hanyalah resepi turun-temurun keluarga, tetapi kami cuba olah dengan cara yang lebih moden,” katanya.
Pasangannya, Faliza pula menambah, pertandingan ini memberi peluang kepada kami untuk berkongsi rasa masakan kampung dengan masyarakat luar. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna.
Naib johan dan tempat ketiga turut menerima hadiah wang tunai serta hamper produk ADABI, manakala semua peserta lain menerima saguhati berupa hamper makanan daripada pihak penaja.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Inovasi & Penyelidikan STML, Prof. Log. Ts. Dr. Mohd. Rizal Razalli.
Dalam ucapannya, beliau berkata, pertandingan ini bukan sekadar pertandingan memasak, tetapi juga satu usaha untuk menghubungkan komuniti dengan universiti dan industri, selari dengan misi STML untuk melahirkan graduan yang dekat dengan masyarakat.
Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran warga UUM serta pihak industri yang mengadakan pameran dan jualan produk sepanjang hari pertandingan, bersempena dengan Green Carnival menjadikan suasana lebih meriah dan penuh warna-warni.
Secara keseluruhannya, Pertandingan MasterChef 2026 berjaya menonjolkan keistimewaan masakan utara, di samping menjadi platform untuk memperkukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti setempat, universiti dan industri. – Dr. Mawaddah Mohamad



