Melangkaui Bilik Darjah: Pelajar Pendidikan SoE teroka peluang keusahawanan
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad
SINTOK, 22 April 2026: Seramai 36 pelajar daripada Kursus SGDFK2013 Entrepreneurship and Co-Operative Management, Pusat Pengajian Pendidikan (SoE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan keusahawanan ke Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), baru-baru ini.
Pensyarah Kursus, Prof. Madya Dr. Norazlinda Saad berkata, lawatan tersebut melibatkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan) dengan Kepujian daripada Semester 4 dan 6 yang bertujuan memberi pendedahan secara langsung mengenai dunia keusahawanan serta peluang yang tersedia kepada bakal usahawan muda.

Menurutnya, lawatan ini merupakan satu pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang penting dalam membantu pelajar memahami realiti sebenar dunia keusahawanan.
“Melalui lawatan ini, pelajar bukan sahaja memperoleh pengetahuan teori, malah berpeluang melihat sendiri ekosistem keusahawanan serta sokongan yang disediakan oleh pihak universiti,” katanya.
Sepanjang program, pelajar telah mengikuti sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengarah PPKS, Fadzil Mohd Husin yang menerangkan peranan PPKS dalam membangunkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti.
Taklimat tersebut turut merangkumi pelbagai inisiatif yang ditawarkan termasuk program latihan, bimbingan perniagaan serta peluang pembiayaan dan inkubasi bagi membantu pelajar memulakan perniagaan.

Selain itu, sesi soal jawab yang diadakan turut memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan cabaran dan peluang dalam bidang keusahawanan, termasuk aspek pengurusan perniagaan, strategi pemasaran serta daya tahan usahawan dalam menghadapi persaingan pasaran.
Secara keseluruhannya, lawatan ini berjaya meningkatkan kesedaran dan minat pelajar terhadap bidang keusahawanan sebagai satu pilihan kerjaya yang berpotensi, selaras dengan usaha universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing, inovatif dan berorientasikan keusahawanan.
Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh lagi pembangunan bakat usahawan dalam kalangan pelajar UUM serta menyokong agenda pembangunan keusahawanan negara.



