Campus

Naib Canselor ucap tahniah kepada pelajar baharu Asasi Pengurusan UUM 2026/2027

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 14 Jun 2026: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed mengucapkan tahniah kepada ibu bapa dan pelajar yang berjaya ke Program Asasi Pengurusan UUM sesi 2026/2027 yang disifatkan sebagai program kompetitif dengan hanya 265 pelajar dipilih.

Dalam sesi bersama waris pelajar baharu Program Asasi Pengurusan,Dr. Ahmad Martadha turut memberi jaminan bahawa UUM sentiasa mengutamakan aspek kebajikan pelajar menerusi penyaluran 16 jenis bantuan kepada pelajar UUM yang memerlukan.

Bantuan tersebut merangkumi bantuan kewangan, peralatan pembelajaran seperti komputer riba, bantuan sokongan hidup, bantuan awal pengajian dan pelbagai bantuan lain bagi memastikan pelajar sentiasa fokus menamatkan pengajian di UUM.

“Kita sangat berbangga apabila ramai dalam kalangan ibu bapa yang hadir pada sesi hari ini merupakan alumni UUM yang kembali memilih universiti ini sebagai destinasi pendidikan anak-anak mereka kerana yakin dengan kualiti akademik serta perkembangan universiti.

“Program Perakaunan dan Undang-undang UUM merupakan antara program terbaik di Malaysia manakala bidang Perakaunan, Kewangan dan Perbankan turut berada dalam kelompok terbaik dunia berdasarkan penarafan subjek,” katanya.

Beliau berkata, UUM turut memberi penekanan terhadap kebolehpasaran graduan menerusi penawaran sijil profesional, pensijilan industri serta penerapan elemen Kecerdasan Buatan (AI) dalam program pengajian bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran graduan UUM.

Ketika sesi soal jawab bersama waris, Naib Canselor menjelaskan bahawa pelajar perlu berada di kampus walaupun pembelajaran dilaksanakan secara hibrid bagi memastikan mereka mendapat suasana pembelajaran universiti yang kondusif.

Mengulas lanjut, Dr. Ahmad Martadha berkata, UUM komited melahirkan graduan berkualiti, berdaya tahan dan memenuhi keperluan industri selain tidak hanya cemerlang akademik tetapi berpegang kuat kepada jati diri. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button