Naik pangkat pada hari lahir jadi hadiah istimewa
SINTOK, 23 Januari 2025: Semalam menjadi hari yang cukup indah buat pensyarah Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia (TISSA-UUM), Prof. Madya Dr Norhaiza Khairudin apabila menerima kenaikan pangkat yang turut jatuh pada hari lahirnya.
“Alhamdulillah, saya bersyukur atas kepercayaan yang telah diberikan sepanjang perjalanan karier saya. Kini, saya berjaya mencapai satu lagi pencapaian penting sebagai Profesor Madya.
“Lebih menggembirakan, hari ini juga adalah hari lahir saya, dan inilah hadiah yang paling istimewa, menjadikan momen ini terindah untuk dikenang sepanjang hayat,” katanya dengan penuh rasa syukur.
Mengimbau perjalanan kerjayanya, Dr. Norhaiza memulakan langkah di UUM lebih dua dekad lalu, pada tahun 1999, sebagai seorang tutor setelah menerima Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.
Dengan cita-cita yang tinggi untuk terus menyumbang dalam dunia akademik, beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang Teknologi Maklumat.
Kenangan manis turut terpahat apabila beliau diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan perintis dalam penubuhan Jabatan Sistem Maklumat Perakaunan di TISSA, yang menggabungkan dua bidang iaitu Perakaunan dan Sistem Maklumat sebagai kekuatan utama dalam profesion perakaunan.
“Kecintaan terhadap ilmu dan semangat untuk memberi impak lebih besar mendorong saya untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang ‘Accounting Information Systems’ di University of Western Australia.
“Setelah tamat pengajian, saya kembali dengan tekad untuk memperkukuh TISSA-UUM, khususnya dalam melahirkan graduan cemerlang dalam bidang ‘Accounting Information Systems’. Saya juga diberi amanah untuk memimpin Program ‘Accounting Information Systems’ dan mengetuai Semakan Kurikulum bagi program Bacct (IS) pada tahun 2022,” jelasnya.
Bagi Dr. Norhaiza, setiap langkah dalam perjalanan kerjayanya adalah batu loncatan untuk berkhidmat lebih baik, menyumbang kepada pembangunan ilmu, pelajar, dan institusi yang dihargainya.
Aspirasi beliau adalah untuk terus melihat TISSA-UUM dan UUM berkembang sebagai universiti bertaraf dunia dalam bidang Perakaunan dan Sistem Maklumat Perakaunan.
“Saya percaya, dengan semangat kerjasama dan komitmen yang kukuh daripada semua pihak, cita-cita ini bukanlah mustahil. Bila punya niat yang baik, Allah akan beri jalan,” katanya dengan penuh harapan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan UUM, terutamanya Dekan TISSA-UUM, Prof. Dr. Ram AL Jaffri Saad serta rakan sejawat atas segala sokongan dan peluang yang diberikan.
“Semoga Allah memberkati usaha kita semua dalam menjadikan UUM sebuah institusi yang terus unggul di persada dunia,” tambahnya.
Beliau merupakan salah seorang daripada 23 staf UUM yang menerima watikah kenaikan pangkat pada Majlis Watikah Kenaikan Pangkat Staf Akademik dan Pentadbiran Universiti Utara Malaysia Bagi Tahun 2025 yang diadakan di Balai Tamu.
Watikah tersebut disampaikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, yang turut diiringi Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.
Daripada jumlah tersebut, 11 pensyarah menerima kenaikan pangkat kepada Profesor Madya (DS14), sembilan pensyarah (DS13), serta tiga staf pentadbiran, yang terdiri daripada seorang Pegawai Teknologi Maklumat Gred F14 dan dua lagi staf gred F12.