OPEX-STML UUM KETENGAHKAN KAJIAN NILAI EKONOMI TAMAN LAUT PULAU PAYAR DI PAMERAN KONSERVASI NCTF 2.0 TAHUN 2026
Berita dan gambar oleh: Prof. Madya Dr. Suhaila Binti Abdul Hanan
PUTRAJAYA, 28 Oktober 2026 – Unit Penyelidikan Operational Excellence (OPEX), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), mengetengahkan hasil penyelidikan berkaitan nilai ekonomi Taman Laut Pulau Payar menerusi penyertaan dalam Pameran Konservasi Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) 2.0 Tahun 2026 yang berlangsung pada 28 hingga 29 Oktober 2026 di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3.

Penyertaan ini membabitkan kajian bertajuk “Total Economic Value (TEV) of Pulau Payar Marine Park Revisit Model TEV PPMP 2011” yang terpilih untuk dipamerkan dalam program anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Penyertaan tersebut menjadi platform bagi OPEX-STML UUM mengetengahkan kepentingan penyelidikan nilai ekonomi sumber marin serta menyokong usaha pemuliharaan dan pengurusan kawasan perlindungan marin secara mampan.
Menurut Prof. Dr. Nor Hasni Binti Osman, penyelidikan berkaitan Nilai Ekonomi Keseluruhan (Total Economic Value, TEV) Taman Laut Pulau Payar penting untuk meningkatkan pemahaman tentang nilai sumber marin, bukan sahaja dari sudut ekonomi, malah dari segi kepentingannya terhadap keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan masyarakat.

Pameran Konservasi NCTF 2.0 Tahun 2026 menghimpunkan pelbagai inisiatif pemuliharaan sumber asli dan biodiversiti negara, merangkumi pemuliharaan flora dan fauna, ekosistem akuatik daratan, habitat dan ekosistem marin, ekosistem batu kapur dan gua, serta pemeliharaan pengetahuan tradisional masyarakat orang asli dan komuniti setempat.
Majlis perasmian pada 28 Oktober 2026 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YB Tuan Syed Ibrahim bin Syed Noh. Antara pengisian program ialah sesi penyerahan mock cheque bagi projek Fasa 15 NCTF, pelancaran buku dan tayangan video montaj, pelancaran cenderamata NCTF serta lawatan ke reruai pameran.

Program ini turut menampilkan siri perkongsian ilmu Pocket Talk yang mengetengahkan pelbagai isu konservasi, termasuk perlindungan biodiversiti, usaha membanteras penyeludupan hidupan liar, pemuliharaan tumbuhan unik batu kapur, pemulihan terumbu karang dan pemuliharaan habitat rumput laut.
Penyertaan OPEX-STML UUM dalam pameran ini mencerminkan komitmen unit penyelidikan tersebut dalam memperluas perkongsian ilmu dan mengetengahkan hasil penyelidikan yang relevan dengan keperluan pengurusan sumber asli negara. Usaha ini juga memperkukuh peranan STML dan UUM dalam menyumbang kepakaran akademik serta penyelidikan kepada agenda kelestarian dan pemuliharaan biodiversiti negara.



