PELAJAR STHEM UUM sertai program Hari Bumi 2026 di Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang
Berita dan gambar oleh: Dr. Norhafiza Md Sharif
PULAU PINANG, 22 April 2026: Seramai 25 pelajar daripada Kursus GHZTK2133 Pengurusan Projek Acara, Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diketuai oleh Dr. Norhafiza Md Sharif telah menyertai Program Hari Bumi 2026 di Setia SPICE Convention Centre, Pulau Pinang pada 22 April 2026 baru-baru ini.

Program ini turut dilaksanakan dengan sokongan Event Management Training, Research, Activities and Consultancy (EMTRAC), STHEM UUM sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan kelestarian serta memberi pengalaman praktikal berkaitan amalan industri sebenar dalam bidang pengurusan acara.

Sepanjang program, para pelajar telah didedahkan kepada pelbagai aktiviti termasuk sesi pembentangan oleh pihak SPICE, sesi soal jawab, lawatan tapak serta aktiviti amali urban farming (replanting) yang menekankan konsep green sustainability event.
Menurut Dr. Norhafiza Md Sharif, pendedahan secara langsung kepada amalan industri ini mampu meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan kelestarian serta mengaplikasikan konsep tersebut dalam penganjuran acara pada masa hadapan.
Program ini dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan industri, di samping melahirkan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam pengurusan acara mampan.



