Pelajar UUM cetus idea kreatif empower day bersama Maybank
Berita dan gambar oleh: Anis Zulaikha Kamal
SINTOK, 17 Mei 2026: Seramai 103 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai sesi pertemuan fizikal program Maybank Ambassador X Padawan yang berlangsung di Dewan Seminar B, Pusat Konvensyen UUM. Program ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama Maybank menerusi inisiatif School of Hard Knocks (SoHK).
Program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada para pelajar mengenai peranan mereka sebagai Maybank Ambassador X Padawan di samping memperkukuhkan kemahiran insaniah, kepimpinan serta komunikasi dalam kalangan mahasiswa. Selain itu, sesi ini turut menjadi platform penting dalam mempererat hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi dan pihak industri bagi melahirkan graduan yang lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan.

Sepanjang program berlangsung, para peserta telah diberikan penerangan berkaitan objektif program, peranan ambassador serta penglibatan pelajar dalam pelaksanaan pelbagai aktiviti bersama Maybank sepanjang tahun. Para pelajar juga didedahkan dengan elemen pembangunan diri, pengurusan program dan kepentingan membina jaringan profesional sejak di bangku universiti.
Menariknya, sesi tersebut turut melibatkan aktiviti berkumpulan yang memerlukan para pelajar mencadangkan idea kreatif dan interaktif bagi pelaksanaan program “Empower Day” yang dijangka berlangsung di UUM pada Oktober ini. Pelbagai cadangan menarik telah diketengahkan termasuk aktiviti berkaitan pengurusan kewangan, cabaran berpasukan, permainan interaktif serta aktiviti yang mampu menarik penyertaan aktif mahasiswa kampus.
Melalui tugasan tersebut, para pelajar bukan sahaja berpeluang mengetengahkan idea baharu, malah dapat mengasah kemahiran berfikir secara kreatif, menyelesaikan masalah dan bekerja secara kolaboratif dalam kumpulan. Aktiviti ini juga secara tidak langsung membantu meningkatkan keyakinan diri serta kemampuan pelajar dalam menyampaikan idea secara profesional.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program berasaskan kolaborasi industri seperti ini memainkan peranan penting dalam memperkasakan kebolehpasaran graduan serta memberi pengalaman pembelajaran yang lebih dekat dengan situasi dunia pekerjaan sebenar.

Menurut beliau, penglibatan aktif mahasiswa dalam program SoHK dapat membantu pelajar membina nilai kepimpinan, kreativiti dan semangat kerja berpasukan yang amat diperlukan oleh majikan pada masa kini.
“Program seperti ini memberi ruang kepada pelajar untuk belajar secara praktikal melalui pengalaman sebenar bersama industri. Mereka bukan sahaja menjadi peserta program, malah turut diberi peluang untuk terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan aktiviti yang memberi impak kepada komuniti kampus,” katanya.
Beliau turut berharap agar kerjasama strategik antara PPKKG dan Maybank dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membuka lebih banyak peluang pembangunan diri dan kerjaya kepada mahasiswa UUM.
Program tersebut diakhiri dengan sesi pembentangan idea oleh setiap kumpulan, perkongsian bersama wakil Maybank serta sesi bergambar sebagai simbolik kerjasama antara pihak universiti dan industri dalam melahirkan mahasiswa yang holistik, kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan.



