Campus

Pendedahan awal Program Pertukaran Pelajar Antarabangsa warnai Minggu Suai Kenal (MSK) UUM

Gambar Muhammad Iqbal Roslan

SINTOK, 25 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Minggu Suai Kenal (MSK) Semester Pertama, Sesi 2025/2026 pada 23 hingga 27 September ini bagi menyambut kehadiran lebih 4,549 orang pelajar baharu peringkat sarjana muda bermula 23 September daripada pelbagai latar belakang di seluruh negara.

MSK yang menjadi tradisi tahunan universiti ini berperanan memberi pendedahan awal kepada pelajar seperti mengenai kemudahan yang tersedia di dalam kampus, peraturan akademik, aspek keselamatan, dan lain-lain sepanjang tempoh mereka menuntut di UUM.

Bersempena penganjuran MSK kali ini, Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), UUM mengambil langkah proaktif memperkenalkan program pertukaran pelajar antarabangsa, khususnya pertukaran pelajar selama satu semester ke universiti luar negara. Langkah ini dilaksanakan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu serta waris-waris yang hadir sama mengenai peluang pembelajaran di luar negara.

Timbalan Pengarah, CIAC, Prof. Madya Ts. Dr. Norliza Katuk berkata, kesedaran awal mengenai peluang pertukaran pelajar antarabangsa ini perlu diberikan bukan sahaja kepada pelajar malah juga ibu bapa, agar mereka lebih bersedia dan yakin untuk menghantar anak-anak mengikuti pengalaman pembelajaran di luar negara.

“CIAC sentiasa komited memperluas rangkaian kerjasama dengan universiti antarabangsa di lebih 10 buah negara, termasuk Turkiye, Jepun, Korea Selatan, Australia, Indonesia, Finland, Perancis, Sepanyol, Romania, Poland dan Thailand.

“Melalui jaringan ini, pelajar berpeluang mengikuti pengajian selama satu semester di luar negara. Kesedaran awal ini membolehkan mereka merancang jadual akademik serta kewangan dengan lebih teratur,” katanya.

Turut hadir, Pengarah CIAC, Dr. Arpah Abu Bakar, yang menzahirkan sokongan penuh terhadap usaha mempromosikan program pertukaran pelajar antarabangsa kepada waris dan pelajar baharu.

Beliau berharap pendedahan awal ini dapat meningkatkan penyertaan pelajar tempatan dalam program tersebut pada setiap semester.

Selain meningkatkan pengalaman akademik, program pertukaran pelajar antarabangsa diyakini dapat memperkukuh kemahiran insaniah, meningkatkan kefahaman silang budaya, serta membuka ruang jaringan global yang memberi nilai tambah kepada pembangunan kerjaya masa depan pelajar.

Inisiatif ini turut memperkukuh aspirasi UUM dalam melahirkan graduan holistik, bercirikan kepimpinan global dan daya saing antarabangsa, selari dengan Pelan Strategik UUM serta aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. – Amierul Husniey Che Abd Rahman

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button