Pendidikan percuma mahasiswa OKU: Langkah progresif martabatkan inklusiviti nasional
Berita dan gambar oleh Bakhari Che Mohamed Ariff
SINTOK – Kerajaan Malaysia melakar sejarah baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara apabila YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan inisiatif Pendidikan Percuma bagi Mahasiswa Orang Kurang Upaya (OKU) bermula tahun ini.
Langkah proaktif yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 mahasiswa OKU di seluruh negara itu merupakan salah satu pengisian utama dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
Menyambut baik pengumuman tersebut, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai satu langkah besar ke arah merealisasikan pendidikan percuma bagi golongan minoriti.

Menurut beliau, pelaksanaan ini bukan sahaja memberikan keadilan sosial, malah secara langsung meringankan beban kewangan dan tekanan sara hidup yang dihadapi oleh mahasiswa OKU sepanjang tempoh pengajian mereka.
Beliau menegaskan bahawa pihak universiti sangat menyokong dan kini berada dalam kesiapsiagaan penuh untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
Tambah beliau, pengumuman ini adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh komuniti mahasiswa OKU di negara ini, memandangkan keperluan mereka sering kali melibatkan kos yang lebih tinggi berbanding mahasiswa lain.
Mengulas mengenai realiti kehidupan mahasiswa istimewa ini, Prof. Dr. Ahmad Martadha menjelaskan bahawa mahasiswa OKU berdepan cabaran kewangan yang unik disebabkan ketidakupayaan dan kekangan fungsi.
Faktor ketidakupayaan memaksa golongan ini untuk lebih kerap menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi pergerakan ke dewan kuliah atau lokasi tertentu, selain bergantung kepada perkhidmatan penghantaran makanan terus ke bilik kediaman. Justeru, perbelanjaan harian mereka secara teknikalnya adalah lebih tinggi berbanding mahasiswa bukan OKU.
Walaupun Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah sekian lama membantu meringankan beban mereka, inisiatif tambahan pendidikan percuma ini dilihat sebagai pelengkap yang kukuh.

Ia menjadi bukti jelas bahawa Malaysia kekal komited dan konsisten dalam memelihara kebajikan serta memastikan kelangsungan pendidikan komuniti OKU di peringkat tertinggi.
Prof. Dr. Ahmad Martadha turut menaruh harapan agar pengumuman bersejarah ini menjadi perangsang dan pembakar semangat kepada lebih ramai individu OKU untuk terus bangkit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Dengan adanya sokongan padu daripada kerajaan, kekangan kewangan tidak lagi menjadi penghalang bagi mereka untuk mengejar impian dan menyumbang bakti kepada negara.
Meor Muhammad Afif Aiman, OKU Fizikal sejak lahir dan merupakan Pengasas Pertubuhan Mahasiswa Istimewa Kebangsaan (PERMAI) juga menyifatkan langkah kerajaan yang proaktif ini menjadi daya tolak bagi individu OKU dan keluarga OKU untuk tidak ragu-ragu melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana kami OKU memandang pendidikan adalah kunci mobiliti sosial.



