Campus

Penerima Dana Infaq UUM tabur bakti melalui program khidmat masyarakat

Gambar Pusat Islam UUM

SINTOK, 19 Mei 2026: Seramai lebih 60 pelajar asnaf Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai Program Khidmat Bakti Asnaf UUM anjuran Pusat Islam UUM yang berlangsung di sekitar Pusat Islam UUM, hari ini.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md Sabri berkata, program ini dilaksanakan sebagai inisiatif memperkasakan pembangunan sahsiah, kepimpinan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan pelajar asnaf menerusi aktiviti gotong-royong serta khidmat komuniti yang dijalankan secara bersepadu bersama urus setia Pusat Islam dan wakil pelbagai kelab pelajar.

Menurutnya, program ini amat signifikan dalam melahirkan pelajar asnaf yang bukan sekadar menerima bantuan kebajikan, malah turut diberi ruang untuk menyumbang tenaga dan khidmat kepada universiti.

“Program seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa sebagai medium mahasiswa menyumbang bakti kepada Pusat Islam, di samping memperkukuhkan pembangunan sahsiah dan nilai kepimpinan dalam diri pelajar.

“Semoga semangat kerjasama, keikhlasan dan budaya berkhidmat yang dipamerkan peserta dapat terus dikekalkan demi manfaat bersama. Pusat Islam akan sentiasa komited membimbing pelajar asnaf agar menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, urus setia dan pihak yang terlibat atas komitmen tinggi dalam menjayakan program berkenaan.

Antara lokasi utama yang menjadi tumpuan program ialah Bilik Pengurusan Jenazah, setor dapur memasak dan tapak penyembelihan Pusat Islam serta Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Anak Asnaf (RUKAYDA) UUM yang dibersihkan dan ditambah nilai keceriaan sepanjang program berlangsung.

Pelbagai aktiviti dilaksanakan termasuk kerja penyusunan peralatan, pembersihan kawasan, mencuci lantai, mengecat bangunan, membersihkan longkang serta mengemas ruang seminar bagi memastikan persekitaran Pusat Islam sentiasa berada dalam keadaan bersih, tersusun dan kondusif.

Penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan menyemai budaya kebersihan dan tanggungjawab sosial, malah menjadi platform pembentukan jati diri pelajar asnaf agar lebih berdisiplin, proaktif dan prihatin terhadap peranan mereka dalam masyarakat.

Program tersebut berjaya mencapai objektif yang dirancang serta memberi impak positif kepada peserta melalui pengalaman kerja berpasukan, pemupukan nilai kepimpinan dan penghayatan semangat kebajikan.

Penganjuran program sedemikian juga dilihat mampu memperkukuh hubungan antara pelajar dan institusi di samping menyemarakkan budaya kesukarelawanan dalam kalangan warga UUM. – Muhammad Syazwan Menon

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button