Penjawat baharu IBS perkukuh peranan dalam transformasi dan kecemerlangan pusat pengajian
Gambar Amirul Ammar Azfar Abd Shukor
SINTOK, 9 Mac 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan Majlis Amanat Dekan IBS serta sesi Penyampaian Surat Pelantikan dan Serah Tugas Penjawat IBS sesi 2026 di Bilik Mesyuarat FWD Takaful.
Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan dan Amanat daripada Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor yang memberi penekanan besar terhadap komitmen dan tanggungjawab semua warga IBS dalam mendukung visi dan misi universiti.

Dr. Selamah turut menegaskan bahawa UUM kini berada pada kedudukan 491 dalam QS World University Ranking dan sedang berusaha keras untuk meningkatkan kedudukan tersebut ke aras yang lebih tinggi dengan universiti menetapkan sasaran untuk mencapai kedudukan 300 dalam masa terdekat.
“Sebagai warga IBS, kita perlu berfokus kepada kecemerlangan akademik dan pentadbiran. Usaha kolektif ini adalah penting bagi memastikan UUM mencapai kedudukan yang lebih tinggi dalam QS World University Ranking, yang seterusnya akan memperkukuhkan reputasi universiti di peringkat antarabangsa,” katanya.
Majlis diteruskan dengan penghargaan kepada penjawat yang tamat tempoh perkhidmatan, yang berkongsi pengalaman berharga mengenai pentingnya kesinambungan dan perubahan dalam organisasi.

Dr. Selamah juga mengucapkan tahniah kepada penjawat baharu atas pelantikan mereka, mengingatkan mereka bahawa mereka memikul tanggungjawab besar dalam menyokong transformasi IBS dan universiti.
Sesi Penyampaian Surat Pelantikan Penjawat Baharu IBS menandakan peralihan tugas yang juga mencerminkan kerja berpasukan dalam memastikan kelancaran perjalanan IBS ke arah visi yang ditetapkan.
Majlis diakhiri dengan Penyampaian Cenderamata dan Sijil Apresiasi kepada mantan penjawat yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada IBS. Pengiktirafan ini menegaskan kepentingan usaha dan komitmen yang telah diberikan. – Nurzulfah Afifah Mat Tamizi



