Penyelidik SIGS serah tiga aplikasi Islamik kepada Pusat Islam UUM
Gambar Laura Lim Sie Yi
SINTOK, 10 Ogos 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuhkan agenda inovasi sosial dan pendigitalan ilmu menerusi penyerahan tiga aplikasi Islamik kepada Pusat Islam UUM, semalam.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Penyelidik Geran Inovasi Sosial (SIGS), Prof. Madya Noraziah Che Pa, bersama tiga penyelidik projek dan disaksikan oleh Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC) UUM, Prof. Madya Dr. Ani Munirah Mohamad kepada Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri.

Prof. Madya Noraziah berkata, inovasi berkenaan dihasilkan bagi menerapkan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian ilmu Islam, sekali gus menjadikan sumber rujukan lebih mudah dicapai oleh masyarakat.
Ketiga-tiga aplikasi berkenaan merupakan produk penyelidikan Geran Inovasi Sosial (SIG) yang diketuai beliau bersama Prof. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC), Prof. Madya Dr. Syamsul Bahrin Zaibon dari Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) serta Nur Azzah Abu Bakar dari Pusat Pengajian Pengkomputeran (SoC).
Aplikasi tersebut akan dimanfaatkan oleh pelajar, warga UUM serta komuniti yang berkunjung ke Pusat Islam dan Masjid UUM, di samping menyokong usaha pengimarahan masjid melalui pendekatan digital.

Inisiatif ini turut memberi nilai tambah kepada komuniti Pusat Islam dengan memperluas akses kepada ilmu Islamik, menggalakkan pembelajaran kendiri serta meningkatkan penggunaan teknologi bagi tujuan pendidikan dan pembangunan sahsiah.
Selain menghasilkan produk digital, projek SIGS ini memperlihatkan bagaimana kepakaran penyelidik UUM dapat diterjemahkan kepada inovasi yang memberi manfaat langsung kepada komuniti. Penglibatan komuniti dalam pembangunan dan pengujian aplikasi juga membantu memastikan inovasi yang dihasilkan memenuhi keperluan pengguna.
Usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih celik digital, berilmu dan berdaya upaya, selaras dengan matlamat inovasi sosial UUM yang menekankan penerimaan, penggunaan dan kelestarian inovasi dalam komuniti. – Prof.Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam



