PENYELIDIK SLCP BERSAMA PENSYARAH STML MELATIH AHLI BAKAT MEMPROSES PRODUK HILIRAN MADU KELULUT
Berita oleh: Syahrina Abdullah
Gambar oleh: Ahli BAKAT Kem RS 5 Bukit Kayu Hitam
SINTOK: Penyelidik Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh pemindahan ilmu dan kemahiran keusahawanan komuniti melalui pelaksanaan Program Knowledge Transfer Programme (KTP) MADANI Keusahawanan Kelulut 2026 yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk hiliran berasaskan kelulut.

Program latihan ini diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie Bersama ahli penyelidik, Dr. Mohamad Faizal Abd Matalib dan Syahrina Abdullah dengan kerjasama pensyarah kanan Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail, dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML).
Program pemindahan ilmu ini telah dilaksanakan di Makmal STML UUM yang dikenali sebagai Food Security, Innovation and Development Research Centre (FInDER).
Menerusi program ini, para peserta yang terdiri daripada ahli Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT) telah diberikan pendedahan secara praktikal mengenai kaedah pemprosesan produk hiliran kelulut, khususnya penghasilan sabun berasaskan madu kelulut.
Peserta turut didedahkan kepada proses penyediaan bahan, teknik pemprosesan dan kaedah menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah serta potensi untuk dipasarkan. Antara produk yang diproses pada program kali ini ialah produk sabun berasaskan madu kelulut.

Dalam ucapannya, Dekan Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Hj. Rofie menegaskan bahawa pembangunan produk hiliran kelulut merupakan satu langkah penting dalam memastikan hasil penyelidikan dan kepakaran universiti dapat diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang boleh dinikmati oleh masyarakat.
Menurut beliau juga, penghasilan madu kelulut tidak seharusnya terhenti pada penjualan madu mentah sahaja, sebaliknya perlu diperluaskan melalui inovasi dan pembangunan produk hiliran yang mempunyai nilai tambah serta potensi pasaran.
Penghasilan produk seperti sabun berasaskan madu kelulut merupakan antara peluang keusahawanan yang boleh diterokai oleh komuniti, khususnya golongan wanita dan ahli keluarga anggota tentera.
Beliau turut berharap agar latihan praktikal yang diberikan dapat menjadi titik permulaan kepada peserta BAKAT untuk mengembangkan kemahiran dalam bidang pemprosesan produk, seterusnya meneroka peluang menjadikan produk hiliran kelulut sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga.

Tambah beliau, program seumpama ini mencerminkan komitmen UUM sebagai institusi pendidikan tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui pendekatan pemindahan ilmu yang bersifat praktikal, inklusif dan berimpak tinggi.
Kerjasama antara SLCP, FInDER dan komuniti BAKAT juga membuktikan bahawa sinergi kepakaran akademik dan pengalaman komuniti mampu menghasilkan nilai ekonomi serta membuka ruang kepada pembangunan keusahawanan yang lebih mampan.
Kerjasama strategik bersama pensyarah STML membolehkan peserta memperoleh manfaat daripada kepakaran penyelidikan dan pembangunan produk, khususnya dalam aspek formulasi serta inovasi produk hiliran.
Pendekatan latihan secara amali ini memberi peluang kepada peserta untuk memahami proses penghasilan produk dengan lebih dekat, sekali gus membina keyakinan untuk mengusahakan produk hiliran secara kecilan atau sebagai aktiviti keusahawanan komuniti.

Pelaksanaan latihan ini merupakan antara usaha UUM untuk memastikan pemindahan ilmu daripada universiti kepada komuniti bukan sahaja tertumpu kepada penghasilan madu kelulut, malah diperluaskan kepada pembangunan produk hiliran yang mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi.
Program ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta BAKAT dalam menghasilkan produk hiliran berasaskan kelulut, di samping membuka peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan tambahan serta memperkukuh ekonomi keluarga.
Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi KTP MADANI yang menekankan pemindahan kepakaran universiti, pemerkasaan komuniti dan pembangunan keusahawanan yang mampan.
Melalui sinergi kepakaran penyelidik SLCP, STML dan komuniti BAKAT, UUM terus komited memperluas impak penyelidikan dan inovasi universiti agar dapat diterjemahkan kepada produk yang berpotensi dikomersialkan serta memberikan manfaat langsung kepada masyarakat.



