Perkongsian TNB Mengenai Jangkaan Industri di SQS Quantifest 2026
Gambar oleh: Zamalik Hassan
SINTOK, 20 April 2026: Apakah sebenarnya yang dicari oleh industri daripada graduan dalam bidang analitik dan sains kuantitatif hari ini? Persoalan ini dikupas secara mendalam dalam satu slot khas di SQS Quantifest 2026 menerusi sesi bertajuk “Industry Expectations of Analytics and Quantitative Professionals: Insights from the Telecommunications and Energy Sectors”.
Slot ini disampaikan oleh penceramah jemputan, Ts. Mohd Rizal bin Mohd Ramly, Chief Engineer Digital & Data dari TNB Power Generation, yang berkongsi pengalaman lebih dua dekad dalam bidang telekomunikasi dan tenaga khususnya dalam transformasi digital dan data analitik.

Beliau menekankan kepada bakal graduan tentang kepentingan untuk sentiasa meningkatkan kemahiran melalui pembelajaran berterusan. Selain dari itu, kemahiran insaniah seperti komunikasi, keupayaan membina hubungan serta kebolehan mempersembahkan data dengan jelas dan mudah difahami adalah juga perlu diberi perhatian.
Pendedahan kepada teknologi terkini seperti Edge AI dan perkembangan Generative AI (GenAI) juga penting sebagai persediaan masa hadapan. Gabungan kepakaran domain dan kemahiran data mampu memberikan impak yang lebih besar dalam menjadikan profesional analitik sebagai pemacu utama inovasi dan daya saing industri.

Perkongsian ini membuka mata para pelajar bahawa kejayaan dalam bidang sains kuantitatif bukan hanya bergantung kepada penguasaan teori dan angka semata-mata, tetapi juga memerlukan gabungan kemahiran teknikal, komunikasi dan sikap yang proaktif.
SQS Quantifest 2026 berlangsung dari 19 hingga 21 April 2026 di Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, Universiti Utara Malaysia dengan menghimpunkan pelbagai program perkongsian ilmu yang memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai keperluan industri masa kini. – Dr. Zurina Hanafi



