Campus

Pocket Talk SUDI’26 perkasa pemahaman SULAM berteraskan komuniti

Gambar oleh: Pusat Perancangan Dasar dan Kecemerlangan Akademik

Sintok, 24 Jun 2026 – Program SULAM Driven Innovation 2026 (SUDI’26) telah berjaya menganjurkan dua sesi Pocket Talk yang memberi pendedahan kepada para peserta mengenai pelaksanaan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang berimpak tinggi, bertempat di Dewan Tan Sri Othman (TSO), Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sesi pertama bertajuk “Cara Menangi Hati Komuniti” telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Syariza Abdul Rahman dari Pusat Pengajian Sains Kuantitatif, UUM. Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan bahawa kejayaan sesuatu projek SULAM bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan aktiviti, tetapi turut melibatkan keupayaan membina kepercayaan serta hubungan yang kukuh dengan komuniti.

Beliau turut memperkenalkan Formula H.A.T.I. sebagai panduan membina kerjasama berkesan bersama komuniti, iaitu Hormati Komuniti, Ambil Tahu Keperluan Mereka, Tunjukkan Tindakan, dan Impak Berterusan.

Pendekatan ini menggalakkan mahasiswa melihat komuniti sebagai rakan strategik dalam menghasilkan penyelesaian yang benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.

Sesi kedua bertajuk “SULAM: Lebih Daripada Sekadar Gred” telah disampaikan oleh Dr. Norzalila Jamaludin. Beliau menjelaskan bahawa SULAM merupakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang menghubungkan teori di bilik kuliah dengan penyelesaian masalah sebenar dalam komuniti.

Melalui pendekatan ini, mahasiswa bukan sahaja memperoleh ilmu, malah berpeluang menyumbang kepada masyarakat serta membangunkan kemahiran insaniah yang diperlukan oleh majikan.

Turut dikongsikan ialah konsep G.R.E.D., iaitu Give Back, Real World Learning, Employability Skills dan Difference Maker, yang menjadi asas pelaksanaan SULAM dalam melahirkan graduan kompeten, berempati dan berkeupayaan menjadi agen perubahan.

Peserta juga didedahkan dengan contoh kajian kes yang menunjukkan bagaimana projek SULAM mampu memberi impak berterusan kepada komuniti melalui penyelesaian yang mampan dan berorientasikan keperluan sebenar.

Kedua-dua sesi Pocket Talk tersebut menerima sambutan menggalakkan daripada para peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar, rakan industri serta wakil komuniti. Perkongsian yang disampaikan bukan sahaja memperkukuh pemahaman mengenai konsep SULAM, malah turut memberi inspirasi kepada peserta untuk merancang projek berasaskan komuniti yang lebih bermakna, lestari dan berimpak jangka panjang.

Program Pocket Talk ini merupakan antara pengisian utama SULAM Driven Innovation 2026 (SUDI’26) yang bertujuan memperkasa budaya pembelajaran berasaskan khidmat masyarakat, sekali gus menyokong aspirasi Universiti Utara Malaysia dalam melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, tetapi juga berupaya menyumbang kepada pembangunan komuniti dan kesejahteraan masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button