Prestasi Pelan Strategik UUM capai 72.6 peratus pada suku kedua 2026
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 8 Julai 2026: Prestasi semasa Pelan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi tahun 2026 memperlihatkan perkembangan yang positif dengan sebahagian besar petunjuk prestasi utama (KPI) berada pada landasan yang baik, sekali gus memberi keyakinan terhadap pencapaian sasaran menjelang penghujung tahun.
Pengarah Bahagian Perancangan dan Prestasi Korporat (BPPK), Prof. Dr. Nor Aziah Abd Manaf telah membentangkan pencapaian prestasi Pelan Strategik UUM bagi suku kedua (Q2) 2026 yang menunjukkan universiti berada pada landasan yang positif dengan prestasi keseluruhan sebanyak 72.6 peratus, walaupun masih belum mencapai sasaran penuh yang ditetapkan.

Menurutnya, pencapaian tersebut diukur berdasarkan kaedah purata prestasi bagi setiap teras strategik dan dijangka akan terus meningkat pada suku ketiga (Q3) dan suku keempat (Q4) apabila beberapa petunjuk prestasi utama (KPI) yang dijadualkan dilaksanakan pada separuh kedua tahun berjaya dicapai.
“Teras 3 (Menjulang Mahasiswa Menampilkan Adab) dan Teras 4 (Model Baharu Kelestarian Kewangan) telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, manakala Teras 1 (Keunggulan Akademik dan Pengaruh Global), Teras 2 (Penyelidikan, Inovasi dan Impak Masyarakat) serta Teras 5 (Pengukuhan Kepimpinan Menggemilang Institusi) berada pada tahap sederhana dan dijangka terus dipertingkatkan dalam tempoh berbaki tahun ini.
“Teras 6 (Menjunjung Tatakelola Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan) pula masih memerlukan penambahbaikan memandangkan sebahagian besar indikatornya merupakan petunjuk baharu yang memerlukan tempoh pelaksanaan sebelum menunjukkan impak sebenar,” katanya di Majlis Apresiasi Pelan Strategik dan Pembentangan Pencapaian Sukuan Kedua Pelan Strategik 2026 di EDC-UUM, hari ini.
Mengulas prestasi mengikut indikator, beliau memaklumkan bahawa hampir separuh daripada keseluruhan petunjuk prestasi universiti telah mencapai tahap cemerlang, dengan 69 daripada 143 petunjuk prestasi (48 peratus) berjaya mencapai sasaran penuh setakat suku kedua.

Dr. Nor Aziah berkata, beberapa petunjuk di bawah Teras 5 hanya akan mula dinilai pada tahun hadapan, termasuk indikator berkaitan Signature Programme dan ATM Blue, menyebabkan pencapaian bagi teras tersebut belum dapat dinilai secara menyeluruh pada tahun ini.
Sehubungan itu, beliau optimis prestasi universiti akan terus meningkat menjelang akhir tahun hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif strategik yang sedang digerakkan oleh semua pusat tanggungjawab.
Beliau turut menyeru semua warga universiti agar mengekalkan momentum pelaksanaan setiap inisiatif yang dirancang supaya sasaran Pelan Strategik Fasa Keempat dapat dicapai sepenuhnya, sekali gus memperkukuhkan kedudukan UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.
Turut hadir, Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed; Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Timbalan Pendaftar merangkap Yang Menjalankan Fungsi Pendaftar, Mohd Zulkifli Mohd Noor serta Penasihat Undang-undang, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohamed.



