Campus

Program Bina Insan Guru 2026 Perkasa Sahsiah dan Profesionalisme Bakal Pendidik UUM

Berita dan gambar oleh: Nurul Anisa Adnan

SIK, 6 Jun 2026: Seramai 180 pelajar Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PGDE) Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Kampus Sintok dan Kampus Kota Bharu menyertai Program Bina Insan Guru (BIG) sesi 2025/2026 yang bermula hari ini di KEDA Resort, Bendang Man.

Program yang berlangsung selama empat hari tiga malam sehingga 9 Jun itu telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan akademik universiti, antaranya Dekan Pusat Pengajian Awang Had Salleh (AHSGS), Prof. Madya Dr. Md. Zawawi Abu Bakar; Dekan Pusat Pengajian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Haji Othman; serta Pengerusi Program PGDE, Dr. Faizahani Ab. Rahman.

Turut serta menjayakan agenda pembangunan modal insan bakal guru ini ialah jawatankuasa pelaksana dan pensyarah pengiring.

Program BIG merupakan komponen wajib dalam struktur akademik PGDE yang bertujuan melahirkan guru berkualiti, berintegriti dan berdaya saing selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG).

Mengangkat tema “Bina Insan Guru: Kepakaran Digarap, Citra Pendidik Dimartabat”, program ini bertujuan melahirkan generasi pendidik yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki ketahanan mental dan fizikal serta keupayaan kepimpinan yang tinggi melalui pelbagai aktiviti luar dan kemasyarakatan.

Sepanjang program, peserta akan didedahkan dengan pelbagai pengisian yang dirancang secara menyeluruh bagi memperkukuh kemahiran komunikasi, memupuk nilai kepimpinan dan kerjasama, membina semangat perpaduan serta melahirkan bakal guru yang berketerampilan dan profesional.

Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan program berskala besar yang memerlukan komitmen, disiplin dan keupayaan bekerja secara berpasukan.

Pengarah Program BIG 2026, Syakir Zafayri Abu Bakar berkata, “Platform ini merupakan satu wadah yang sangat signifikan dalam membentuk barisan pendidik masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki jati diri yang kukuh, berjiwa pemimpin serta berprofesionalisme tinggi.”

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan universiti, pensyarah, staf akademik, urus setia serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran program.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button