Program Career Launchpad Series: Empowering Skills And Professional Growth perkukuh kemahiran kebolehpasaran graduan
Gambar Media SULAM ToT, SBM
KANGAR, 14 Jun 2026: Seramai 60 pelajar ADTEC JTM Kampus Kangar telah menyertai Program Career Launchpad Series: Empowering Skills and Professional Growth yang dianjurkan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) di ADTEC JTM Kampus Kangar, Perlis.
Program ini merupakan satu inisiatif pembangunan modal insan dan sebahagian daripada projek kursus BPMHK3133: Management of Training of Trainers di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia.

Program yang dilaksanakan di bawah penyeliaan Dr. Siti Noorjannah Abd Halim dan Dr. Nor Farah Hanis Zainun ini melibatkan kerjasama strategik serta beberapa siri perbincangan dan penyelarasan antara pihak UUM dan ADTEC JTM Kampus Kangar.
Dr. Siti Noorjannah berkata, objektif utama program ini adalah untuk memperkukuhkan kemahiran kebolehpasaran graduan dan meningkatkan kesediaan pelajar dalam menghadapi dunia pekerjaan melalui latihan yang praktikal, interaktif serta memenuhi kehendak industri semasa.
Seramai 43 pelatih (trainer) yang terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, UUM telah terlibat secara aktif dalam menjayakan program ini.
Sebagai persediaan sebelum pelaksanaan program, pelatih telah mengikuti beberapa siri latihan dan sesi pembangunan kompetensi bersama tenaga pengajar serta pakar dalam bidang berkaitan seperti Power BI, penyediaan resume dan surat iringan (cover letter), komunikasi profesional serta etika komunikasi di tempat kerja bagi memastikan setiap pelatih mampu menyampaikan latihan secara berkesan, interaktif dan berkualiti kepada peserta ADTEC JTM.

Program ini telah dirasmikan oleh Pegawai Psikologi ADTEC JTM Kampus Kangar, Ainilhuda Abdul Razak.
Program yang bertemakan pembangunan kerjaya dan profesionalisme ini menampilkan tiga slot utama yang dirangka khusus bagi meningkatkan kemahiran peserta. Slot pertama merupakan Bengkel Microsoft Power BI yang memberi pendedahan kepada peserta mengenai penggunaan perisian analitik data bagi membantu mereka memahami kaedah pengurusan dan visualisasi data secara lebih efektif. Slot kedua pula ialah Bengkel Cover Letter dan Resume yang memfokuskan kepada teknik penyediaan resume dan dokumen yang profesional dan mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Seterusnya, slot ketiga menampilkan Bengkel Formal Letter, Professional Communication Etiquette, Email Etiquette dan Message Etiquette. Dalam sesi ini, peserta didedahkan kepada etika komunikasi profesional yang perlu diamalkan dalam persekitaran pekerjaan. Slot ini turut disertakan dengan aktiviti simulasi dan lakonan situasi (role play) bagi membolehkan peserta mengaplikasikan kemahiran komunikasi yang dipelajari dalam pelbagai konteks pekerjaan sebenar.
Sepanjang program berlangsung, peserta menunjukkan penglibatan yang aktif dalam setiap sesi latihan yang dijalankan. Pendekatan pembelajaran secara interaktif dan berasaskan aktiviti telah berjaya meningkatkan tahap pemahaman serta keyakinan peserta terhadap kemahiran yang dipelajari.

Pengerusi Program Pengurusan Sumber Manusia, Dr. Edora Ismail berkata, program ini berjaya meningkatkan pengetahuan peserta berkaitan kemahiran digital, penyediaan resume dan dokumen kerjaya serta komunikasi profesional yang amat diperlukan dalam dunia pekerjaan masa kini.
Menurutnya, program ini turut membantu meningkatkan keyakinan diri peserta, memperkukuhkan kemahiran insaniah serta memberi pendedahan awal terhadap jangkaan dan budaya kerja profesional.
“Program seperti ini bukan sahaja memperkukuhkan kemahiran pelajar, malah menjadi platform penting dalam membina keyakinan diri, kemahiran insaniah serta persediaan graduan dalam menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa pendedahan awal kepada kemahiran teknikal seperti Microsoft Power BI, penulisan resume dan cover letter, serta komunikasi profesional amat penting dalam memastikan pelajar lebih bersedia untuk memasuki alam pekerjaan.

Program ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui penyediaan latihan kemahiran yang relevan, SDG 8: Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi melalui pembangunan kebolehpasaran graduan, serta SDG 17: Perkongsian untuk Matlamat melalui kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan institusi latihan kemahiran.
Program diakhiri dengan sesi tayangan video montaj serta ucapan daripada Pengarah Program, Muhammad Iskandar Dzulkarnian Ahmad dan wakil pelajar ADTEC JTM.
Penyampaian cenderamata telah disempurnakan oleh Timbalan Dekan, Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Shamsul Huda Abd. Rani.
Melalui penganjuran program ini, Universiti Utara Malaysia terus membuktikan komitmennya dalam melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan melalui pelaksanaan program pembangunan kemahiran yang berimpak tinggi dan berorientasikan masa hadapan. – Nina Nurqistina Asha Jahidee dan Nabiha Huda Kamal



