Program Derma Darah “Darah Kasih, Nyawa Bersih” berjaya tingkat semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga UUM
Berita dan gambar Muhammad Amsyar Rozidi
SINTOK, 21 Julai 2026: Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa (Inasis) TM, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah menganjurkan program derma darah bertemakan “Darah Kasih, Nyawa Bersih” di Dewan Inasis TM selama dua hari pada 5 Jun lalu.
Pengarah Program, Norulnadzirah Mahrawi berkata, program ini adalah sebahagian daripada usaha pihak Inasis TM untuk memupuk nilai kemanusiaan dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan pelajar terhadap masyarakat sekeliling.

“Apabila kita menganjurkan program khidmat komuniti seperti ini, kita dapat memberi peluang kepada mereka untuk menyumbang sesuatu yang sangat bermakna iaitu peluang kedua untuk menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan,” katanya.
Program yang menyasarkan penyertaan kira-kira 80 penderma dalam kalangan pelajar, staf universiti dan orang awam ini diadakan bertujuan untuk membantu HSB menambah stok bekalan darah bagi kegunaan kecemasan, pembedahan, serta rawatan pesakit yang memerlukan.
Selain itu, ia menjadi platform penting bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan menderma darah secara berkala.
Bagi memastikan kelancaran program, peruntukan sebanyak RM300 daripada Tabung Budget Inasis TM telah digunakan secara berhemah untuk menampung kos logistik, penyediaan makanan petugas serta penyediaan bahan promosi dan dokumentasi.
Penganjuran program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif kebajikan dan kesihatan, malah menjadi bukti komitmen tinggi warga UUM dalam menjayakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Universiti (USR).
Kolaborasi strategik antara institusi pendidikan dan agensi kesihatan ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan masyarakat yang lebih prihatin, bertanggungjawab dan gemar membantu.



