Campus

Program jejak kampus UUM: Walkabout bersama Pendaftar kukuhkan semangat kebersamaan

Gambar Mohd Fuad Hamid

SINTOK, 3 September 2025: Program Jejak Kampus UUM: Walkabout Bersama Pendaftar anjuran Jabatan Sumber Manusia (JSM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional (Tadbir dan Ikhtisas) (PERPATI) telah berlangsung dengan jayanya semalam dengan penyertaan lebih 80 orang staf Universiti Utara Malaysia (UUM).

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan  berkata, program yang diketuai oleh Pendaftar ini melibatkan aktiviti membersihkan kawasan sekitar serta mengenal pasti lokasi, infrastruktur dan papan tanda yang memerlukan penyelenggaraan, di samping memberi ruang kepada warga kampus untuk beriadah beramai-ramai.

Menurutnya, inisiatif ini diadakan sebagai langkah persediaan menerima kemasukan pelajar baharu pada hujung bulan ini serta Majlis Konvokesyen UUM yang dijadualkan pada bulan November 2025.

“Usaha ini mencerminkan komitmen universiti untuk memastikan persekitaran kampus sentiasa kondusif, mesra komuniti dan bersedia menerima tetamu,” katanya yang hadir melepaskan peserta program seawal 8.00 pagi di Foyer Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin.

Selain itu, program ini juga selari dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG 3: Good Health and Well-Being) yang menekankan kepentingan kesejahteraan dan gaya hidup sihat.

Penganjuran ini turut menyokong pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) di UUM, khususnya dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang teratur, bersih dan kondusif, di samping mengeratkan silaturahim dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.

Kejayaan penganjuran ini diharap dapat diteruskan sebagai budaya positif dalam kalangan warga UUM, seterusnya memperkukuh imej kampus sebagai sebuah universiti hijau, harmoni dan berdaya saing. – Kartini Tajul Urus

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button