Program Kepimpinan Akademia himpun tokoh dan pensyarah muda
Berita dan gambar Mohammad Taufiq Othman
SINTOK, 10 Ogos 2026: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) dengan kerjasama Jabatan Sumber Manusia (JSM) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Kepimpinan Akademia: Aspirasi Kepimpinan dan Pengalaman di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen UUM.
Program ini telah menghimpunkan kira-kira 60 peserta yang terdiri daripada barisan pensyarah muda UUM (Kohort C).

Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr. Mohd Khairudin Kasiran berkata, program ini bertujuan menyemai kefahaman kepimpinan strategik, berintegriti dan berpandangan jauh serta menyediakan platform pendedahan awal daripada tokoh-tokoh akademia universiti.
Menurutnya, universiti meletakkan harapan yang tinggi terhadap peranan pensyarah muda dalam memacu pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti.
Pencapaian Profesor Sebelum Usia 40 & Peranan Akademia Kepada Masyarakat
Dalam Slot 1 bertajuk Wacana Kepimpinan, Profesor Emeritus Dr. Rushami Zien Yusoff berkongsi kisah pendorong dan falsafah kerja beliau sewaktu mula berkecimpung dalam dunia akademik. Beliau menekankan pentingnya penetapan sasaran kerjaya yang jelas sejak awal, di mana beliau meletakkan ikrar dan sasaran peribadi untuk mencapai gelaran Profesor sebelum menginjak usia 40 tahun — satu pencapaian yang berjaya direalisasikannya menerusi disiplin, fokus penyelidikan serta konsistensi penerbitan.
Selain pencapaian akademik peribadi, Prof. Emeritus Dr. Rushami turut memberi penekanan khusus kepada peranan akademia terhadap masyarakat luar. Beliau mengingatkan bahawa keilmuan dan kepakaran pensyarah tidak seharusnya terkurung di dalam bilik kuliah atau dewan kuliah semata-mata, sebaliknya perlu memberi impak nyata kepada komuniti, industri dan pembangunan negara menerusi khidmat nasihat, pemindahan ilmu serta penyelesaian isu-isu masyarakat.
Aspirasi Kepimpinan & Pengalaman Mantan Naib Canselor (VC)

Slot 2 yang disampaikan oleh mantan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, bertajuk Aspirasi Kepimpinan dan Tadbir Urus Universiti, membawa peserta menyelami pengalaman serta cabaran beliau sepanjang menerajui kepimpinan tertinggi universiti.
Beliau berkongsi pelbagai cabaran dan landskap pengurusan IPT masa kini, termasuk keperluan mengimbangi tadbir urus yang cekap, kebajikan warga universiti, serta tuntutan pencapaian kedudukan universiti di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menasihati barisan pensyarah muda agar sentiasa membina daya tahan (resilience), mengamalkan sikap keterbukaan dalam memimpin, dan bersedia menggalas tanggungjawab pentadbiran apabila diberi kepercayaan demi kelangsungan serta kecemerlangan UUM.
Penganjuran program ini bukan sahaja disasarkan untuk memenuhi mata Pembangunan Bakat/Latihan (PBU) dan sasaran KPI staf akademik, malah menyokong matlamat pembangunan modal insan universiti serta Matlamat Pembangunan Mampan Pendidikan Berkualiti (SDG4).



