Campus

Pusat Islam julung kali perkenal retort bubur lambuk Seri Sintok

Berita dan gambar Muhammad Syazwan Menon

SINTOK, 15 Mac 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melakar satu lagi pencapaian apabila Pusat Islam UUM berjaya menghasilkan Retort Bubur Lambuk “Seri Sintok” buat julung kalinya, sekali gus memperkenalkan inovasi baharu dalam penyediaan juadah tradisi Ramadan di kampus ini.

Inisiatif tersebut direalisasikan melalui program memasak Bubur Lambuk “Seri Sintok” yang melibatkan penyediaan bubur lambuk di Dapur Rahmah Pusat Islam UUM, manakala proses pembungkusan serta penghasilan retort dilaksanakan di Dapur Siswa, Inapan Siswa (Inasis) Proton.

Usaha ini diterajui oleh Pusat Islam UUM dengan kerjasama Dapur Siswa MADANI UUM serta sokongan Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM.

Program berkenaan juga diadakan sebagai persediaan bagi Majlis Iftar Perdana Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur Tahun 2026/1447H yang dijadual berlangsung pada 17 Mac 2026.

Penghasilan Retort Bubur Lambuk “Seri Sintok” ini merupakan cetusan idea Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri, yang kemudiannya direalisasikan oleh Pegawai Tadbir Pusat Islam UUM, Muhammad Syazwan.

Mohd Yusnaidi berkata, penggunaan teknologi retort membolehkan bubur lambuk diproses dan disimpan dalam tempoh yang lebih lama tanpa menjejaskan rasa serta kualitinya.

Menurutnya, inisiatif tersebut selari dengan aspirasi universiti untuk memperkasa nilai kemasyarakatan dan memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan warga kampus.

“Program seperti ini bukan sahaja mengimarahkan Ramadan, malah menjadi platform untuk memupuk semangat sukarelawan, kerjasama serta keprihatinan sosial dalam kalangan warga UUM. Pusat Islam amat menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Syazwan menjelaskan bahawa idea pelaksanaan retort bubur lambuk tercetus daripada hasrat untuk mempelbagaikan pendekatan dakwah dan aktiviti kebajikan khususnya sepanjang bulan Ramadan.

“Bubur lambuk sememangnya sinonim dengan Ramadan dalam budaya masyarakat kita. Melalui inovasi retort ini, bubur lambuk bukan sahaja dapat disediakan sebagai juadah berbuka puasa, malah boleh disimpan lebih lama serta diagihkan kepada lebih ramai pihak termasuk komuniti di luar kampus,” katanya.

Bagi menjayakan program tersebut, seramai enam Pelatih Kaunseling Hal Ehwal Pelajar (HEP) turut terlibat secara langsung membantu sepanjang aktiviti berlangsung. Pelatih berkenaan berada di bawah bimbingan Muhammad Noor Fitri Ahmad, Pegawai Psikologi dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM yang turut memberi sokongan serta galakan kepada mereka untuk terlibat dalam aktiviti kesukarelawanan.

Kerjasama erat antara Pusat Islam UUM, Dapur Siswa MADANI serta Majlis Pengetua Inapan Siswa UUM mencerminkan komitmen warga universiti dalam menyemarakkan semangat ukhuwah, kebersamaan serta khidmat kepada masyarakat, khususnya dalam menghidupkan keberkatan bulan Ramadan.

Usaha memperkenalkan Retort Bubur Lambuk “Seri Sintok” ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi dan program kebajikan pada masa hadapan, selaras dengan peranan Universiti Utara Malaysia sebagai institusi yang memupuk nilai ilmu, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button