Pusat Islam UUM destinasi pilihan sekolah bentuk sahsiah dan kepimpinan pelajar
Gambar Pusat Islam UUM
SINTOK, 4 Ogos 2026: Membina pemimpin bukan sekadar mengajar cara memimpin, sebaliknya bermula dengan membentuk sahsiah, keyakinan diri, kemampuan bekerjasama dan kesedaran tentang potensi diri.

Berteraskan aspirasi tersebut, Pusat Islam UUM terus memperkukuhkan peranan sebagai wadah pembangunan generasi muda menerusi penganjuran program kepimpinan dan jati diri melibatkan 200 pelajar daripada dua institusi pendidikan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Beseri dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Ismail.
Program melibatkan 120 pelajar Tingkatan 2 MRSM Beseri menerusi Kem Jati Diri, manakala 80 pengawas SK Tunku Ismail menyertai Kem Kepimpinan Muda, dengan kedua-dua program memberi penekanan kepada pembentukan kepimpinan, sahsiah dan nilai positif dalam diri pelajar.
Pengisian ceramah dan aktiviti berkumpulan dikendalikan oleh pegawai Pusat Islam bersama fasilitator dalam kalangan pelajar UUM, sekali gus mewujudkan interaksi yang lebih dekat antara pelajar universiti dengan generasi sekolah.

Pengarah Pusat Islam, Mohd Yusnaidi Md. Sabri berkata, usaha mendekati pelajar sekolah merupakan sebahagian daripada peranan Pusat Islam dalam memperluaskan fungsi institusi bukan sahaja sebagai pusat pengimarahan kerohanian bagi warga kampus, malah sebagai platform pembangunan insan dan pembentukan generasi muda bagi masyarakat sekitar.
“Pusat Islam melihat pembangunan pelajar sebagai satu proses yang menyeluruh. Kepimpinan yang baik perlu bergerak seiring dengan sahsiah, nilai dan jati diri sejak di bangku sekolah,” katanya.
Dalam masa yang sama, Timbalan Pengetua (Kecemerlangan Akademik) MRSM Beseri, Siti Nur Adila Had menyifatkan program yang dilaksanakan di Pusat Islam sebagai satu pengalaman bermakna kepada pelajar kerana mereka dapat mempelajari aspek pembangunan diri dalam suasana yang berbeza daripada pembelajaran formal di sekolah.
“Program seperti ini memberikan peluang kepada murid untuk mengenali kekuatan diri, belajar bekerjasama dan membina keyakinan.

“Apa yang mereka pelajari bukan hanya untuk sepanjang kem, tetapi diharapkan dapat diterjemahkan dalam kehidupan dan pembelajaran mereka di sekolah,” katanya.
Bagi pihak SK Tunku Ismail pula, Guru Besar, Fadhli Dato’ Arfanuddin turut melihat pengisian kepimpinan yang disediakan sebagai pelengkap kepada usaha sekolah dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kemahiran memimpin dan keperibadian yang baik.
Peserta menzahirkan kegembiraan di akhir program apabila mereka dibawa menyusuri kawasan sekitar kampus UUM menerusi aktiviti kembara kampus (campus tour) yang bukan sekadar memberi pendedahan kepada suasana kehidupan di universiti, malah menjadi simbolik kepada perjalanan pendidikan yang lebih panjang – daripada seorang pelajar sekolah yang sedang membina jati diri kepada bakal pelajar universiti yang suatu hari nanti akan meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi. – Muhammad Kamil Yazid



