Campus

Pusat Islam UUM perkukuh pengisian bulan kebangsaan, semarakkan patriotisme

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 26 Ogos 2025: Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat yang berlangsung di Masjid Sultan Badlishah.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan doa khusus yang dihadiahkan kepada para pejuang serta tokoh kemerdekaan negara. Tidak dilupakan juga, bacaan Yasin dan doa turut dipanjatkan untuk warga UUM yang telah kembali ke rahmatullah, sebagai mengenang jasa ilmu, budi dan bakti mereka terhadap universiti.

Program ini menghimpunkan kakitangan dan mahasiswa UUM, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan warga kampus dalam memperingati perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu demi nikmat kemerdekaan hari ini.

Menurut Pengarah Pusat Islam UUM, Mohd Yusnaidi Md Sabri, majlis tersebut menzahirkan komitmen Pusat Islam dalam menyuburkan jiwa patriotik berasaskan nilai Islam.

“Pusat Islam memilih pengisian kerohanian sebagai pendekatan berbeza dalam meraikan Bulan Kebangsaan. Melalui program ini, kita ingin menanam rasa syukur atas nikmat kemerdekaan, di samping menyemai semangat kecintaan kepada negara dalam kalangan warga universiti. Semoga doa yang dipanjatkan menjadi jalan keberkatan dan kekuatan untuk kita terus menyumbang melalui ilmu, budi dan bakti,” katanya.

Selesai majlis bacaan Yasin dan doa, program diteruskan dengan tayangan filem patriotik Malbatt: Misi Bakara di Dewan Seminar Pusat Islam. Tayangan tersebut mendapat sambutan hangat dengan kehadiran hampir 245 pelajar daripada Pusat Asasi Pengurusan UUM.

Respon penonton juga memberangsangkan, dengan semangat patriotik yang jelas terserlah sepanjang tayangan. Filem berkenaan turut memberi kefahaman lebih mendalam kepada mahasiswa mengenai perjuangan, pengorbanan dan erti sebenar kemerdekaan.

Program ini memperlihatkan usaha berterusan Pusat Islam UUM dalam mendidik warga kampus agar menghargai sejarah, menyanjung pengorbanan serta memperkukuh semangat cintakan tanah air berteraskan syiar Islam. – Nor Azlinah Zaini

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button