Pusat Pengajian Undang-undang rai kecemerlangan staf akademik dan santuni staf pentadbiran
Berita dan gambar Prof. Madya Dr. Haslinda Mohd Anuar
SINTOK, 10 Ogos 2026: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Ilmu dan Santunan Budi 2026 di EDC UUM bagi memberi pengiktirafan rasmi kepada pencapaian cemerlang warga akademik dan pentadbiran sepanjang tahun penilaian 2025.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program yang dihadiri oleh 50 warga SOL ini bermatlamat untuk memberikan pengiktirafan rasmi terhadap pencapaian cemerlang staf akademik dalam bidang penyelidikan, penerbitan, perundingan, serta inovasi bagi tahun penilaian 2025.
Menurutnya, skop penghargaan tahun ini turut diperluas kepada staf pentadbiran sebagai peranan penting mereka selaku tulang belakang yang memacu kelancaran operasi dan sistem penyampaian Pusat Pengajian.
“Penganjuran majlis ini diharapkan dapat membina ekosistem kerja yang lebih harmoni dan inklusif, dan pihak pengurusan SOL turut menyasarkan lonjakan komitmen sebanyak 15 peratus dalam penghantaran kertas geran penyelidikan baharu pada suku tahun berikutnya hasil daripada suntikan motivasi ini,” katanya.

Majlis ini meliputkan struktur penganugerahan holistik yang dipecahkan kepada dua kumpulan utama. Bagi kumpulan akademik, sebanyak 17 sub kategori bagi kecemerlangan akademik telah diperkenalkan merangkumi pencapaian geran penyelidikan pelbagai peringkat, penerbitan jurnal berimpak tinggi, serta pendaftaran hak cipta dan harta intelek, manakala bagi kumpulan pentadbiran, 10 kategori khas disediakan merangkumi aspek integriti, efisiensi operasi, khidmat setia, dan penarafan mesra pelanggan bagi mengiktiraf kompetensi serta komitmen warga kerja sokongan.
Selain penyerahan sijil penghargaan kepada setiap penerima anugerah, insentif saguhati bagi pemenang inovasi dan pengkomersialan iaitu sumbangan khas daripada Pusat Inovasi dan Pengkomesialan (ICC) turut diberikan.



