Campus

RHB Investment Bank kongsi panduan kerjaya dan pelaburan bersama pelajar UUM

Berita dan gambar Anis Zulaikha Kamal

SINTOK, 10 Jun 2026: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Pusat Pembangunan Kerjaya dan Kebolehpasaran Graduan (PPKKG) dengan kerjasama RHB Investment Bank telah menganjurkan program Career & Investment Insights yang berlangsung di Auditorium 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM, kelmarin.

Pegawai Psikologi, PPKKG, Nur Farah Johari berkata, program ini bertujuan memberikan pendedahan kepada pelajar tentang peluang kerjaya dalam sektor kewangan serta meningkatkan pemahaman mereka tentang pelaburan dan pasaran kewangan.

Menurutnya, program seperti ini amat penting dalam membantu pelajar membuat perancangan kerjaya yang lebih awal dan realistik.

“Pendedahan secara langsung daripada industri bukan sahaja meningkatkan pengetahuan tentang pasaran kerja dan pelaburan, malah membantu pelajar membina keyakinan diri, kemahiran komunikasi serta kesiapsiagaan untuk menghadapi cabaran dunia pekerjaan selepas tamat pengajian,” katanya.

Sesi ini menampilkan tiga pakar kewangan dan pelaburan daripada RHB Investment Bank yang berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan berkaitan dunia pekerjaan serta strategi pelaburan.

Antara penceramah yang dijemput ialah Pengarah Wilayah, RHB Investment Bank, Phoon Chun Mun yang berkongsi tip dan strategi untuk membantu pelajar mempersiapkan diri menghadapi alam pekerjaan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Turut hadir ialah Wakil Peniaga, RHB Investment Bank, Tan Zhen yang membincangkan kepentingan perancangan kerjaya awal dan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam industri kewangan yang semakin kompetitif.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan, RHB Investment Bank, Aiman Kamil Ahmad Shauqi menyampaikan perkongsian kepada peserta mengenai asas analisis pasaran, trend pelaburan dan cara memahami pergerakan pasaran kewangan secara lebih efektif.

Program ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar pelbagai pusat pengajian yang berminat untuk mendalami bidang kewangan, pelaburan dan pembangunan kerjaya, selain turut berpeluang berinteraksi secara langsung dengan penceramah melalui sesi soal jawab yang berlangsung secara aktif.

Turut hadir, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB), Dr. Hanita Kadir @ Shahar yang memberikan sokongan terhadap usaha memperkasakan pelajar melalui pendedahan kepada pengalaman industri, khususnya dalam bidang kewangan, pelaburan dan pembangunan kerjaya.

Penganjuran program seperti ini diharap dapat memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan industri, sekali gus membantu pelajar memperoleh pengetahuan praktikal serta perspektif sebenar tentang cabaran dan peluang dalam dunia profesional.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button