Campus

Roadshow Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) ke SQS: Memahami hala tuju penyelidikan RMK-13

Gambar oleh : Zamalik Hassan

SINTOK, 28 April 2026: Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan Program Roadshow Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang diwakili oleh Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI), Prof. Dr. Nor Idayu Mahat.

Program yang berlangsung di Dewan Seminar SQS ini bertujuan menyelaras dan memahami hala tuju strategik penyelidikan universiti agar seiring dengan agenda pembangunan nasional yang digariskan dalam RMK-13.

Prof. Dr. Nor Idayu berkata bahawa antara bidang bitara R&D&C&I yang dikenal pasti sebagai keutamaan ialah analitik data dan kecerdasan buatan selaras dengan kepakaran dan keupayaan warga akademik SQS.

Beliau juga menekankan kepentingan pengukuhan Research Group (RG) sebagai satu pasukan kolaboratif yang berperanan meningkatkan output penyelidikan secara kolektif, bukan sebagai entiti individu. Penekanan turut diberikan kepada usaha memperkasa penerbitan berkualiti serta kejayaan memperoleh geran penyelidikan secara berpasukan.

Selain itu, staf akademik turut diberikan pendedahan berhubung garis panduan rasmi berkaitan pengukuran atas pelaburan (ROI) dan pulangan atas nilai (ROV) sebagai panduan dalam menilai impak dan keberkesanan aktiviti penyelidikan yang dilaksanakan oleh setiap RG.

Program ini turut dihadiri oleh Ir. Hamdan Noh, Pengarah Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (JPPI), serta Abdul Razak Ali, Timbalan Pengarah UUM Information Technology (UUMIT).

Kedua-dua wakil jabatan berkenaan telah menyampaikan taklimat berkaitan isu-isu infrastruktur dan infostruktur, di samping menjawab pelbagai persoalan serta aduan yang dikemukakan oleh warga SQS.

Kehadiran barisan kepimpinan universiti ini dilihat sebagai satu inisiatif signifikan dalam memperkukuh komunikasi dua hala antara pengurusan tertinggi dan warga akademik. Ia sekali gus membuka ruang kepada warga SQS untuk memperoleh maklumat secara langsung mengenai agenda penyelidikan, pembangunan infrastruktur fizikal serta sokongan teknologi maklumat yang menjadi pemangkin kepada kelestarian ekosistem akademik di UUM. – Nabilah Suhaimi

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button