Campus

Sambutan Maal Hijrah semarakkan penghayatan ilmu dan adab

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 21 Jun 2026: Majlis Sambutan Tahun Baharu 1448 Hijrah dan Solat Hajat Perdana Semester A252 yang berlangsung di Masjid Sultan Badlishah pada 1 Muharam disambut dengan penuh kesyukuran dan semangat ukhuwah apabila menghimpunkan warga universiti dalam sebuah majlis yang sarat dengan pengisian rohani, penghargaan kepimpinan mahasiswa serta aktiviti kebersamaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Solat Hajat Perdana yang dipimpin oleh kepimpinan pelajar sebagai simbol pengharapan dan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT agar seluruh warga universiti terus dikurniakan kejayaan, kesejahteraan serta keberkatan, serta kekuatan buat pelajar dalam menduduki peperiksaan akhir sebelum menempuh sesi akademik yang baharu.

Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) berkata, penganjuran solat hajat ini penting dalam membudayakan solat berjemaah di masjid serta memberikan motivasi sebagai bekal buat pelajar menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Beliau turut mengingatkan bahawa hijrah yang sebenar bukan sekadar perpindahan fizikal atau perubahan suasana, sebaliknya melibatkan transformasi jiwa ke arah menjadi insan yang lebih dekat dengan Tuhan, berakhlak mulia serta sentiasa menjadikan ilmu sebagai jalan mendekatkan diri kepada-Nya.

Pengisian utama majlis diteruskan melalui ceramah khas bertajuk “Hijrah Penuntut Ilmu: Menjulang Ilmu Mengakar Adab” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohamad Moqti Ahmad.

Dalam ceramah tersebut, beliau menegaskan bahawa kejayaan seorang penuntut ilmu bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, bahkan turut bergantung kepada kekuatan adab, keikhlasan niat serta pergantungan yang utuh kepada Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan.

Majlis turut menyaksikan penyerahan surat pelantikan kepada sembilan Imam dan Bilal Siswa bagi sesi pengajian semasa, sekali gus memberi pengiktirafan kepada pelajar yang memainkan peranan penting dalam pengimarahan masjid dan surau kampus.

Sebagai penghargaan terhadap komitmen pelajar dalam menjayakan program-program kerohanian universiti, anugerah khas Inasis Terbaik bagi kategori Penyertaan Pelajar Teramai turut disampaikan, sekali gus mencerminkan semangat kebersamaan dan sokongan padu warga Inasis terhadap usaha memperkukuh budaya ilmu serta penghayatan Islam di kampus.

Exco Kerohanian Inapan Siswa TNB, Naufal Haziq Azmi berkata, pengiktirafan ini memberi impak kepada peningkatan motivasi dan menjadi pembakar semangat kepada para pelajar untuk sentiasa menghadirkan diri ke masjid sebagai sebuah ruang penambahbaikan diri dan jiwa.

Suasana sambutan juga terus meriah dengan jamuan khas yang disediakan kepada para pelajar. Pelbagai juadah dan aneka menu menarik disajikan secara penyediaan panas, mewujudkan suasana santai dan harmoni yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa, staf dan pihak pengurusan universiti.

Dalam masa yang sama, tetamu jemputan dan VIP turut diraikan dengan hidangan istimewa di Sepagi Kopitiam, sebuah kiosk niaga yang kini menjadi tarikan baharu di perkarangan Masjid Sultan Badlishah. Konsep santai yang diketengahkan menjadikan lokasi tersebut sebagai pilihan warga kampus untuk menikmati minuman kopi, berbincang dan berinteraksi dalam suasana yang selesa dan kondusif.

Penganjuran Sambutan Tahun Baharu 1448H dan Solat Hajat Perdana ini bukan sahaja berjaya menyemarakkan penghayatan makna hijrah dalam kalangan warga universiti, malah menjadi platform memperkukuh nilai keilmuan, adab, kepimpinan serta pergantungan kepada Allah sebagai asas utama dalam melahirkan graduan yang berkepimpinan dan holistik. – Muhammad Kamil Yazid

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button