Campus

SAPSP UUM terima lawatan penandaarasan Sarjana Kerja Sosial USM

Berita dan gambar oleh: Dr. Teoh Ai Hua

SINTOK, 28 April 2026 – Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima lawatan penandaarasan Sarjana Kerja Sosial daripada Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 28 April 2026.

Lawatan tersebut diketuai oleh Dr. Masarah Mohamad Yusof selaku Pengerusi Program Sarjana Kerja Sosial USM, bersama Prof. Madya Dr. Paramjit Singh Jamir Singh (Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Industri-Komuniti), Dr. Farhana Kamarul Bahrin, Dr. Syazwani Drani, Dr. Mohd Haizzan Yahaya dan Dr. Mahathir Yahaya.

Delegasi telah disambut oleh Dekan SAPSP, Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad. Turut hadir dalam sesi penandaarasan tersebut ialah Prof. Madya Dr. Zakiyah binti Jamaluddin (Timbalan Dekan Akademik), Dr. Nurhazlina binti Mohd Ariffin (Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Teoh Ai Hua (Pengerusi Program Pascasiswazah – Dasar dan Kerja Sosial), Dr. Yusmarhaini Yusof, Prof. Madya Dr. Rajwani Md. Zain, Dr. Fatimah Zailly Ahmad Ramli serta Dr. Tuan Muhammad Zukri Tuan Sembok.

Lawatan ini bertujuan memperkukuh hubungan akademik antara dua institusi yang menjadi perintis dalam penawaran program Sarjana Kerja Sosial secara kerja kursus di Malaysia. Kedua-dua universiti ini merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi tempatan yang menawarkan program tersebut, sekali gus menjadikan sesi penandaarasan ini signifikan dalam meningkatkan kualiti akademik dan pembangunan profesional bidang kerja sosial.

Menurut Prof. Madya Dr. Zarina Mat Saad, lawatan penandaarasan ini membuka ruang kepada perkongsian kepakaran serta amalan terbaik antara kedua-dua institusi.

“Kolaborasi seperti ini amat penting dalam memastikan program yang ditawarkan sentiasa relevan, berdaya saing dan memenuhi keperluan semasa industri serta komuniti,” katanya.

Sepanjang sesi berlangsung, kedua-dua pihak telah berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan program, kurikulum, penyelidikan, serta penglibatan industri dan komuniti. Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kebolehpasaran graduan serta keperluan semasa dalam bidang kerja sosial.

Sebagai sebahagian daripada program lawatan, rombongan USM turut dibawa melawat Pesta Buku Zon Utara serta Perpustakaan Sultanah Bahiyah. Lawatan diakhiri dengan kunjungan ke Anjung Tamu UUM sebagai simbol penghargaan dan pengukuhan hubungan strategik antara kedua-dua institusi.

Lawatan ini diharap menjadi pemangkin kepada kolaborasi lebih erat pada masa hadapan, khususnya dalam memperkasakan bidang kerja sosial di Malaysia melalui pendidikan berkualiti dan penyelidikan berimpak tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button