SBM hargai komitmen, dedikasi dan semangat kebersamaan, iktiraf sumbangan warga kerja
Gambar Muhamad Arief Fitri Shafie
SINTOK, 15 Julai 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi dan Sanjungan Budi SBM sebagai kesinambungan kepada pengiktirafan kecemerlangan di peringkat universiti menerusi Hari Inovasi dan Majlis Penghargaan UUM (HIMPU UUM), dengan membawa semangat penghargaan tersebut ke peringkat SBM bagi meraikan seluruh warga yang telah menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan SBM bagi tahun 2025.

Majlis yang berlangsung di Dewan Angsana, EDC-UUM itu menghimpunkan barisan pengurusan, ahli akademik dan staf pentadbiran dalam suasana penuh harmoni sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan semangat kebersamaan yang menjadi pemangkin kepada pelbagai pencapaian SBM di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.
Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran rakan-rakan industri strategik SBM iaitu Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Angkasa Training Centre (ATC) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM). Kehadiran mereka mencerminkan hubungan erat yang terjalin antara SBM dengan industri dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik.

Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad berkata, setiap kejayaan yang diraih oleh SBM merupakan hasil usaha berpasukan yang melibatkan semua lapisan warga kerja, tanpa mengira jawatan mahupun peranan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada warga SBM yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta menyumbang secara signifikan dalam bidang penyelidikan, penerbitan, perundingan, inovasi dan pengkomersialan, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran, jaringan industri serta khidmat profesional.

Penganjuran majlis tersebut turut memperkukuhkan budaya menghargai sumbangan warga kerja, di samping menyemarakkan semangat kebersamaan, memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi dan menjadi inspirasi kepada seluruh warga SBM untuk terus mencipta kecemerlangan pada masa hadapan.
Selain meraikan kejayaan, program itu menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara pengurusan, warga SBM dan rakan-rakan industri dalam suasana yang penuh bermakna, sekali gus menyemai budaya saling menghargai serta memperkukuhkan semangat kekitaan sebagai sebuah keluarga besar SBM. – Azam Arni Mohd Noor



