Campus

SBM perkukuh hubungan bersama staf melalui sesi santai bersama pengurusan

Gambar oleh:  Wan Mohamad Kamil Wan Salim

SINTOK, 16 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan satu sesi santai bersama staf menerusi program SBM Meet & Connect yang berlangsung di Bilik Kedah, baru-baru ini.

Program ini diadakan sebagai kesinambungan kepada pembentangan hala tuju pusat pengajian yang telah dikongsikan secara ringkas dalam Mesyuarat Pusat Pengajian sebelum ini.

Melalui sesi ini, pihak pengurusan SBM mengambil peluang untuk lebih mendekati staf serta memperkukuh hubungan kerja dalam suasana yang lebih terbuka dan interaktif.

Dalam sesi tersebut, Dekan bersama Timbalan-Timbalan Dekan (TD) telah berkongsi semula harapan serta strategi utama ke arah memastikan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2026 dapat direalisasikan dengan lebih berkesan.

Penekanan diberikan kepada keperluan kerjasama menyeluruh dalam kalangan staf, selaras dengan peranan masing-masing dalam menyokong kecemerlangan pusat pengajian.

Dekan dalam ucapannya menyatakan bahawa kejayaan SBM bukan sahaja bergantung kepada perancangan strategik, tetapi juga kepada komitmen dan kebersamaan seluruh warga kerja.

 

Beliau turut menekankan bahawa sesi seperti ini penting untuk memastikan setiap staf bukan sahaja memahami hala tuju yang telah digariskan, malah benar-benar “connect” dan bergerak seiring sebagai satu pasukan.

“Dalam sesi ini, kita telah kongsikan pelbagai peluang dan strategi yang boleh dimanfaatkan bersama. Harapan kita, tiada staf yang ketinggalan dan semua dapat bergerak selari ke arah mencapai KPI yang telah ditetapkan,” ujar beliau.

Antara perkara yang disentuh termasuk usaha mempertingkatkan penerbitan berimpak tinggi, memperluas jaringan kolaborasi industri dan antarabangsa, serta memperkukuh kualiti pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, aspek kebajikan staf dan persekitaran kerja yang kondusif turut diberi perhatian sebagai elemen penting dalam menyokong produktiviti.

Sesi ini turut membuka ruang dialog dua hala antara staf dan pihak pengurusan, yang membolehkan perkongsian pandangan serta cadangan secara langsung dalam suasana santai dan harmoni.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai matlamatnya dalam mengeratkan hubungan antara pengurusan dan staf, di samping memastikan semua pihak lebih jelas dan selari dengan hala tuju serta strategi pencapaian KPI SBM bagi tahun 2026. – Azam Arni Mohd Noor

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button