SBM terima kunjungan lawatan penanda aras Program MSc. OSH UMPSA
Gambar Wan Mohamad Kamil Wan Salim
SINTOK, 11 Jun 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kunjungan delegasi pensyarah dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam satu lawatan penanda aras yang berlangsung di Bilik Selangor, SBM.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad bersama barisan pengurusan dan staf SBM.

Dr. Shuhymee berkata, lawatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan jaringan akademik serta berkongsi amalan terbaik terutama dalam pengurusan program akademik pascasiswazah bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberikan taklimat mengenai struktur pentadbiran SBM, pengurusan program akademik, aktiviti penyelidikan serta pelbagai inisiatif yang dilaksanakan bagi menyokong kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran.
Sesi tersebut turut menjadi platform bagi kedua-dua institusi bertukar pandangan mengenai cabaran serta peluang dalam pembangunan program berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Sementara itu, Pengerusi Program Pascasiswazah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) SBM, Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah berkata, lawatan penanda aras seperti ini merupakan medium penting dalam memperkukuh hubungan akademik dan profesional antara institusi pengajian tinggi.

“Kami amat berbesar hati menerima kunjungan delegasi daripada UMPSA kerana ia bukan sahaja membuka ruang kepada perkongsian pengalaman dan amalan terbaik, malah dapat mewujudkan peluang kerjasama yang lebih luas dalam bidang akademik, penyelidikan dan pembangunan program keselamatan dan kesihatan pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.
Selain sesi perkongsian, lawatan tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk pembangunan kurikulum, penyelidikan, penerbitan serta aktiviti akademik yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua institusi.
Penganjuran lawatan penanda aras ini diharapkan dapat memperkukuh perkongsian ilmu dan amalan terbaik antara UUM dan UMPSA, seterusnya menyumbang kepada pembangunan bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kecemerlangan pendidikan tinggi negara. – Azam Arni Mohd Noor



