Campus

SBM UUM perkukuh ekosistem penyelidikan menerusi Program Roadshow TNCPI

Gambar Wan Mohamad Kamil Wan Salim

SINTOK, 23 April 2026: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi di bawah portfolio Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), kelmarin.

Kunjungan tersebut dilaksanakan menerusi program Roadshow TNCPI UUM yang bertujuan untuk memperkasakan ekosistem penyelidikan di peringkat pusat pengajian secara lebih menyeluruh dan strategik.

Delegasi tersebut diketuai oleh Dekan Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi (JHEPPI) UUM, Prof. Dr. Nor Idayu Mahat yang diiringi oleh wakil-wakil daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMC), Jabatan Pengurusan Penerbitan dan Inovasi (JPPI), serta UUM Information Technology (UUMIT).

Kehadiran delegasi ini disambut baik oleh pengurusan SBM yang kini memiliki sebanyak 19 kumpulan penyelidikan sebagai tunjang utama penghasilan inovasi dan penyelidikan berkualiti.

Program ini memberi penekanan khusus kepada peranan kumpulan penyelidikan sebagai pemacu kecemerlangan akademik universiti melalui penyelarasan hala tuju dan model pengurusan yang lebih tersusun.

Dr. Nor Idayu menyatakan bahawa penubuhan kumpulan-kumpulan penyelidikan pada tahun ini merupakan langkah awal dalam membina ekosistem Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang lebih mantap di peringkat universiti.

Menurutnya, pihak universiti memilih untuk menggunakan pendekatan yang fleksibel dalam fasa permulaan ini tanpa menetapkan sasaran khusus kepada setiap kumpulan.

“Langkah ini diambil bagi memberi ruang kepada setiap penyelidik untuk berkembang mengikut kekuatan dan kepakaran masing-masing dalam suasana yang harmoni dan saling menyokong antara ahli kumpulan,” katanya.

Selain perkongsian hala tuju, program tersebut turut menyediakan ruang bagi sesi dialog dua hala antara delegasi dan warga akademik SBM. Sesi ini memberi peluang kepada para ahli akademik untuk mengemukakan pandangan, cabaran, serta cadangan penambahbaikan secara terus bagi memantapkan lagi pengurusan penyelidikan pada masa hadapan.

Secara keseluruhannya, Roadshow TNCPI UUM ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembudayaan penyelidikan yang lebih dinamik dan berdaya saing selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memacu kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan inovasi di peringkat global. – Azam Arni Mohd Noor

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button