Sesi Townhall IBS tingkatkan pemahaman pelajar tentang Perubahan kepada Pentaksiran Sarjana Muda
Gambar Dr. Nor Syahidah Ishak
SINTOK, 22 Jun 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) baru-baru ini telah mengadakan Sesi Townhall Bersama Dekan yang memfokuskan kepada taklimat penting berkaitan Perubahan Dalam Pentaksiran khusus untuk para pelajar program Sarjana Muda di IBS.
Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof berkata, objektif utama penganjuran sesi taklimat ini adalah untuk memberi pendedahan dan kefahaman yang menyeluruh kepada semua pelajar sarjana muda IBS berhubung kaedah pentaksiran baharu yang akan mula berkuat kuasa pada semester A261 akan datang.

Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor ketika sesi taklimatnya menjelaskan secara terperinci mengenai struktur pemarkahan baharu, sekali gus merungkai sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dalam kalangan pelajar.
Pelajar juga telah diberi penerangan tentang justifikasi perubahan pentaksiran tersebut dan keperluan untuk lulus kedua-dua komponen pentaksiran iaitu kerja khusus dan penilaian akhir merupakan ketetapan yang termaktub dalam Standard Pengajian yang diterbitkan oleh MQA. Hal ini demikian adalah untuk menjamin kualiti graduan yang dilahirkan oleh universiti.
Beliau turut mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan kata-kata semangat dan nasihat yang membina kepada pelajar.

“Saya amat berharap semua pelajar dapat mengambil maklum tentang perubahan ini dan mula membuat perancangan akademik yang teliti. Atur strategi pembelajaran anda dengan sebaiknya supaya anda mampu cemerlang dan lulus kedua-dua komponen pentaksiran yang telah ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, perancangan yang rapi sejak awal semester adalah kunci utama untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dan mampu menguruskan tekanan pembelajaran dengan lebih berkesan.
Sesi townhall ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat baik oleh pusat pengajian kerana pelajar turut diberi peluang untuk bertanyakan soalan bagi merungkai persoalan yang timbul berkaitan dalam memastikan komunikasi dua hala yang berkesan antara pelajar dan pusat pengajian agar pelajar bersedia menghadapi perubahan kepada pentaksiran yang akan dilaksanakan pada semester A261 yang akan datang. – Prof. Madya Dr. Syarifah Md Yusof



