Campus

Simposium Data Raya Digital UUM cungkil potensi analisis data melalui pengikisan web

Gambar Nur Ain Pouzi

SINTOK, 2 Julai 2026: Selaras dengan perkembangan teknologi digital dan kepentingan data raya dalam pelbagai sektor, pelajar kursus SBLKK3033 Data Raya dan Pemprosesan Bahasa, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Simposium Data Raya Digital pada 18 Jun lalu di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah.

Program akademik yang berlangsung di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Hishamudin Isam ini bertujuan memberi ruang kepada pelajar untuk membentangkan hasil kajian berasaskan data raya yang diperoleh melalui proses pengikisan web (web scraping).

Simposium tersebut turut menjadi platform bagi menggalakkan budaya penyelidikan, pemikiran analitis serta penguasaan kemahiran digital dalam kalangan pelajar.

Program ini telah dipimpin oleh Pengarah Program, Zharif Afzhan Zhuraini dengan kerjasama ahli jawatankuasa yang terdiri daripada semua pelajar kursus SBLKK3033 Data Raya serta 10 pelajar mobiliti dari Songkhla Rajabhat University, Thailand.

Zharif Afzhan berkata, penglibatan aktif pelajar dalam pengurusan dan pelaksanaan program telah membantu memastikan kelancaran perjalanan simposium di samping memupuk semangat kerjasama, kepimpinan dan komunikasi yang berkesan dalam kalangan peserta.

Simposium tersebut turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila disiarkan secara langsung melalui platform dalam talian dan berjaya menarik penyertaan penonton daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Antara institusi tempatan yang mengikuti siaran langsung program ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Kampus Pagoh dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). Selain itu, pensyarah dan pelajar daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Perlis dan IPGM Kampus Kedah turut mengikuti program tersebut.

Pada peringkat antarabangsa, simposium turut mendapat perhatian daripada beberapa institusi luar negara, antaranya Prince of Songkla University (PSU), Thaksin University dan Songkhla Rajabhat University (SKRU) dari Thailand; Universitas Padjadjaran (UNPAD), Universitas Airlangga (UNAIR), Universitas Negeri Surabaya (UNESA), Universitas Negeri Jakarta (UNJ), Universitas Gadjah Mada (UGM) dan Universitas Andalas (UNAND) dari Indonesia.

Selain itu, turut mengikuti siaran langsung ialah wakil daripada Nanyang Technological University (NTU), Singapura; Universiti Brunei Darussalam (UBD), Brunei; University of Social Sciences and Humanities, Vietnam National University, Vietnam; serta Mindanao State University, Filipina. Penyertaan yang meluas ini membuktikan bahawa Simposium Data Raya Digital berjaya menarik perhatian komuniti akademik serantau serta menjadi platform perkongsian ilmu yang merentas sempadan.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Dr. Hishamudin yang menekankan bahawa penguasaan terhadap data raya dan pemprosesan bahasa merupakan satu keperluan penting dalam menghadapi cabaran era digital masa kini.

Menurutnya, pelajar perlu memanfaatkan teknologi secara optimum bagi menghasilkan kajian yang berkualiti, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran tiga tetamu iaitu Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Dr. Maizatul Azura Yahya; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Madya Dr. Solahuddin serta Pengerusi Program Bahasa, Linguistik dan Teknologi Maklumat (BLIT), Dr. Yusniza Yaakub yang bertindak sebagai juri dan penilai bagi pembentangan yang dijalankan.

Kehadiran barisan penilai ini bukan sahaja menambah prestij simposium data raya digital, malah memberikan peluang kepada pelajar untuk menerima pandangan, cadangan penambahbaikan serta maklum balas yang membina terhadap hasil kajian yang dipersembahkan.

Simposium tersebut menyaksikan pembentangan daripada 16 kumpulan pelajar yang mengetengahkan pelbagai topik menarik dan bersifat semasa. Sebanyak 16 reruai telah disediakan bagi mempamerkan hasil kajian dan analisis data raya setiap kumpulan. Antara data yang dibentangkan ialah data berkaitan sektor pengangkutan, filem Malaysia, pasaran hartanah, industri pelancongan, carta muzik serta data universiti awam dan swasta di Malaysia.

Setiap kumpulan bukan sahaja membentangkan dapatan kajian, malah turut menghuraikan proses pengumpulan data melalui teknik pengikisan web, proses analisis serta interpretasi hasil kajian. Para juri telah menilai setiap booth berdasarkan beberapa kriteria seperti kreativiti persembahan, kualiti dapatan kajian serta keupayaan pelajar dalam menjelaskan hasil penyelidikan mereka kepada para pengunjung.

Simposium Data Raya Digital berjaya mencapai objektif penganjurannya dalam memperkasakan pengetahuan serta kemahiran mahasiswa dalam bidang data raya dan pemprosesan bahasa. Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan graduan yang celik data, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia digital yang semakin berkembang. – Hemavathany Petarasu

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button