Campus

Smart Changloon satukan industri dan agensi kerajaan ke arah Bandar Pintar

SINTOK, 24 April 2025: Sempena KASOC 2025, Program Smart Changloon Initiative: Engagement with Industries/Agencies telah berlangsung dengan jayanya di SOC Student Lounge, baru-baru ini.

Program ini menjadi platform strategik yang menghimpunkan wakil industri dan agensi kerajaan untuk membincangkan langkah awal ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Changloon sebagai sebuah bandar pintar.

Program ini dikendalikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi SOC, Prof. Madya Dr. Husniza Husni serta Pengerusi Jawatankuasa Jaringan Industri dan Komuniti SOC, Prof. Dr. Huda Ibrahim. Kedua-dua tokoh akademik ini memainkan peranan penting dalam memacu inisiatif ini.

Antara agensi dan syarikat yang turut serta termasuklah TM One Wilayah Utara, PLANMalaysia Kedah, Majlis Perbandaran Kubang Pasu, STRATEQ Sdn. Bhd., Finexus Sdn. Bhd., dan Jabatan Bomba Kubang Pasu.

Perbincangan meliputi pelbagai aspek, termasuk pembangunan infrastruktur pintar, penggunaan teknologi terkini, serta kerjasama bersepadu antara industri, kerajaan dan universiti.

Menurut Penolong Pengurus Besar TM One Wilayah Utara, Mohamad Zamri Abdul Razak, program ini merupakan langkah awal yang amat penting dalam menyatukan pelbagai pihak berkepentingan.

“Dengan kerjasama strategik, kita mampu merealisasikan visi Changloon sebagai bandar pintar yang lestari dan berdaya huni,” ujarnya.

Topik utama yang diketengahkan dalam sesi libat urus ini ialah pengurusan banjir kilat di kawasan Changloon satu isu kritikal yang memerlukan pendekatan pintar dan bersepadu.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen School of Computing (SOC) untuk terus menjadi pemacu kerjasama bermakna antara akademia, industri dan agensi kerajaan demi pembangunan komuniti yang inklusif dan mampan, selaras dengan aspirasi negara ke arah digitalisasi dan kelestarian. – Noor Aina Norrdin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button